Showing posts with label sama. Show all posts
Showing posts with label sama. Show all posts

Thursday, April 18, 2013

HATI TETAP SAMA


Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.
Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya? 
                              

Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunnahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?

Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran, Itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa mempertikaikan terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai hamba. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji… katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba… Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun beruasaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit….
Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih… akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar… tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan baik sungguh aturan Allah.   Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha dan ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ekstrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir, kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang dipanggil sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini  tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat  Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandaianya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong.  Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga… tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil usaha saya…” Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini sudah takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan… Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah.  Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!

Wednesday, April 17, 2013

BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!



Kata-kata terakhir saya dalam segmen Mukmin Profesional di radio IKIM baru-baru ini ialah seruan untuk umat ini ‘memanfaatkan persamaan dan matang dalam menguruskan perbezaan.’
Saya kira inilah cabaran untuk umat Islam Melayu di Malaysia, di samping cabaran-cabaran lain, yang semuanya harus dihadapi dengan kebijaksanaan akal dan ketulusan hati.
Menerusi pengalaman dalam pergaulan dengan pelbagai manusia dari pelbagai aliran fikiran dan ‘School of Thought’ saya dapati tahap pergeseran umat ini sudah semakin serius. Usahkan di bidang siasah yang sejak dulu bukan semakin reda tetapi semakin menyala-nyala, malah di bidang yang lain pun perbezaan ini semakin sukar didamaikan.
Agenda dakwah dan tarbiah umat ini turut terjejas apabila ilmuan agama, para dai’e juga terpalit dalam pergeseran yang semakin hebat ini. Jika ‘kepala’ sudah berlaga, apalagi ‘ekor’… lebih ligat dan kuat melibas. Akibatnya, para daie mendapat label masing-masing… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan pula ‘salafi tegar’.
Pergeseran ini mengelirukan, merugikan… Bayangkan seorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah dengan “zikir semacam itu bid’ah”. Renungkan pula… bagaimana pula seorang yang selama ini belajar Tauhid di sekolahnya secara pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap terkeluar daripada ajaran Islam? Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah dari solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan berwasilahkan wali dan ulama.
Namun jika diteliti semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah yang sama. Mereka yang berbeza ini juga adakalanya duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja sepejabat atau boleh jadi satu keluarga juga.Kenduri-kendara masih saling berkaitan. Sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan.
Saya yang sedikit ilmu dan kerdil peribadi ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan petunjuk untuk kita agar sama-sama ikhlas dan bijak menghadapi perbezaan. Apakah kita akan terus menghadapi krisis saling sesat menyesatkan, atau saling kafir mengkafirkan ini? Ya Allah, berilah kami petunjukMU. Respons saya pada persoalan ini hanyalah secebis tulisan yang sangat sederhana:
BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!    

Imam Shafie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.
Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Lihat betapa tingginya keperibadian Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.”
Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, “wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.
Sekarang, lihat pula bagaimana hormat guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal.”
Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru (bermusuhan). Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap bersatu.
Berbeza benar keadaannya dengan masa kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.
Umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke hati umat.
Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.
Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?