Showing posts with label hati. Show all posts
Showing posts with label hati. Show all posts

Saturday, April 20, 2013

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT



Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa-apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1433 H yang berlalu jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1432 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui saban tahun itu  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.

Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan penuh  keberkatan.  Bayangkan, jika terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai boleh masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
·                       Kaum Nabi Nuh.
·                       Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. 
                         Mereka menyembah berhala.
·                       Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
·                       Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
·                       Firaun dan pengikutnya.
·                       Kaum Nabi Luth.
·                       Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
·                       Kaum Tubba’.

Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di setiap hari ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

Thursday, April 18, 2013

HATI TETAP SAMA


Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.
Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya? 
                              

Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunnahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?

Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran, Itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa mempertikaikan terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai hamba. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji… katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba… Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun beruasaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit….
Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih… akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar… tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan baik sungguh aturan Allah.   Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha dan ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ekstrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir, kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang dipanggil sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini  tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat  Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandaianya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong.  Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga… tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil usaha saya…” Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini sudah takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan… Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah.  Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!

Wednesday, April 17, 2013

ASALKAN HATINYA BAIK?

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam.
“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, “ tegasnya.

“Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat,” tambahnya lagi.
Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.
“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.
“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”
“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.
“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”
“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.
“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”
“Itu sahaja?”
“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”
“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”
“Mengapa?”
“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.
“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”
Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”
“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.
“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”
“Ertinya akal kita terikat?”
“Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini… tetapi tetap pada paksinya.”
“Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?”
“Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman.”
“Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?”
“Separuh betul,” jawab saya.
”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran.”
Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.
“Tetapi dia jujur, amanah…”
“Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah.”
Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  “namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.”
“Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?”
“Masih merujuk kepada Al Hadis.”
“Hadis yang mana?”
“Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.”
 “Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?”
“Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah.”
“Maksud ustaz?”
“Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.”
“Oh, begitu. Kenapa ya?”
“Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.”
“Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?”
“Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.”
“Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?”
“Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah…”
“Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…”
“Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.”
“Mengapa?”
“Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah.”
“Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.”
“Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat… secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot.”
“Siapa wanita yang paling baik?” tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.
“Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w.” jawab saya pasti.
“Bagaimana pakaian mereka?”
“Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. ”
Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, “kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat.”
“Wanita yang baik mesti menutup aurat?”
“Ya.”
“”Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?”
“Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat.”
“Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?”
“Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.”
“Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit.”
“Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!”
“Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?” Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.
“Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!”
Dia senyum. Alhamdulillah.
“Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang…”
“Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?”
Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya… insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!



Kata-kata terakhir saya dalam segmen Mukmin Profesional di radio IKIM baru-baru ini ialah seruan untuk umat ini ‘memanfaatkan persamaan dan matang dalam menguruskan perbezaan.’
Saya kira inilah cabaran untuk umat Islam Melayu di Malaysia, di samping cabaran-cabaran lain, yang semuanya harus dihadapi dengan kebijaksanaan akal dan ketulusan hati.
Menerusi pengalaman dalam pergaulan dengan pelbagai manusia dari pelbagai aliran fikiran dan ‘School of Thought’ saya dapati tahap pergeseran umat ini sudah semakin serius. Usahkan di bidang siasah yang sejak dulu bukan semakin reda tetapi semakin menyala-nyala, malah di bidang yang lain pun perbezaan ini semakin sukar didamaikan.
Agenda dakwah dan tarbiah umat ini turut terjejas apabila ilmuan agama, para dai’e juga terpalit dalam pergeseran yang semakin hebat ini. Jika ‘kepala’ sudah berlaga, apalagi ‘ekor’… lebih ligat dan kuat melibas. Akibatnya, para daie mendapat label masing-masing… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan pula ‘salafi tegar’.
Pergeseran ini mengelirukan, merugikan… Bayangkan seorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah dengan “zikir semacam itu bid’ah”. Renungkan pula… bagaimana pula seorang yang selama ini belajar Tauhid di sekolahnya secara pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap terkeluar daripada ajaran Islam? Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah dari solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan berwasilahkan wali dan ulama.
Namun jika diteliti semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah yang sama. Mereka yang berbeza ini juga adakalanya duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja sepejabat atau boleh jadi satu keluarga juga.Kenduri-kendara masih saling berkaitan. Sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan.
Saya yang sedikit ilmu dan kerdil peribadi ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan petunjuk untuk kita agar sama-sama ikhlas dan bijak menghadapi perbezaan. Apakah kita akan terus menghadapi krisis saling sesat menyesatkan, atau saling kafir mengkafirkan ini? Ya Allah, berilah kami petunjukMU. Respons saya pada persoalan ini hanyalah secebis tulisan yang sangat sederhana:
BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!    

Imam Shafie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.
Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Lihat betapa tingginya keperibadian Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.”
Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, “wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.
Sekarang, lihat pula bagaimana hormat guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal.”
Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru (bermusuhan). Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap bersatu.
Berbeza benar keadaannya dengan masa kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.
Umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke hati umat.
Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.
Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?

Saturday, April 13, 2013

DI MANA ALLAH??



Mengapa manusia melakukan kejahatan? Para ulama memberi tiga sebab yang utama – pertama, tidak yakin kepada Allah. Kedua, tidak yakin akan adanya Hari Akhirat dan ketiga, kerana terlalu cinta kepada diri lalu mengabaikan orang lain. 

Soalannya, mengapa orang Islam pun masih melakukan kejahatan?
Ya, kerana kita hanya percaya kepada ketiga-tiga perkara di atas tetapi tidak yakin. Kalau ditanyakan apa bezanya antara percaya dan yakin? 

Terlalu jauh bezanya. Percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.

Sebab pertama dan kedua dinamakan Iman – yakin kepada Allah dan Hari Akhirat. Kedua sebab itu menumbuhkan sebab yang ketiga yakni ukhwah atau persaudaraan (kasih sayang). Dengan iman kepada Allah, terbentuklah kasih sayang sesama manusia. Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kasih kepada manusia lain? Jawabnya, mudah. Siapa yang paling kasih kepada Allah maka dialah yang paling kasih kepada manusia.

Mengapa begitu? Kerana jika kita ingin mengasihi Allah, Allah letakkan syarat agar kita mengasihi hambaNya. Allah minta manusia yang hendak mengasihiNya menjadi saluran untuk Dia mengasihi hamba-hambaNya yang lain. Kita mesti menjadi saluran Allah untuk menyalurkan ilmu, rezeki, kasih, sayang, keadilanNya kepada manusia.

Jadi, jika kenyataan ini dipandang dari sisi yang lain, kita boleh tegaskan begini: Hanya orang yang hatinya benar-benat yakin kepada Allah sahaja boleh menabur kebaikan dengan seikhlas-ikhlasnya kepada manusia lain. Jika ada manusia yang ingin menaburkan jasa dan kebaikan kepada manusia, tetapi tidak nampak sedikitpun keseriusannya untuk mendekati Allah, maka hubaya-hubaya (berjati-hati), besar kemungkinan dia hanya berpura-pura. Boleh jadi dia memberi untuk mendapat pulangan yang lebih besar lagi!

Betapa ramai manusia yang mendabik dada ingin membuat kebaikan kepada manusia lain tetapi mengabaikan hubungannya dengan Allah. Mungkin sama ramainya dengan manusia yang mendakwa hubungannya sangat akrab dengan Allah tetapi meminggirkan hubungan sesama manusia. Inilah yang telah  menimbulkan golongan manusia yang gila kuasa, cinta kedudukan, dan obsesi ekonomi… kononnya untuk meneruskan legasi jasa kepada orang lain.       

Jangan kita lupa ‘yakin kepada Allah’ adalah kunci kepada segala kebaikan dan kejujuran. Dan jangan kita lupa pula ‘cinta kepada dunia’ itu kepala kepada segala kejahatan. Jika Allah dipinggirkan dalam diri, keluarga, masyarakat, pertubuhan, negeri atau sesebuah negara, maka jangan sekali-kali kita percaya dakwaan diri itu, keluarga itu, keluarga, pertubuhan, negeri atau negara itu untuk berjasa kepada manusia!

Seruan untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengamalkan syariat dan akhlak Islamiah mesti mendominasi seruan-seruan yang lain. Dasar dakwah Islamiah adalah mengajak orang ramai merdeka daripada penghambaan sesama manusia untuk bebas menghambakan diri kepada Allah. Menyedarkan manusia agar memburu kelapangan Hari Akhirat dengan meninggalkan kesempitan dunia – maksudnya, menggunakan nikmat dunia untuk menadapatkan kenikmatan syurga! Dan akhirnya, meninggalkan kezaliman sistem hidup buatan manusia untuk mendapat naungan keadilan sistem hidup Islam.

Di mana Allah dalam hati, keluarga, masyarakat dan pertubuhan kita? Itulah satu muhasabah untuk difikirkan jika kita benar-benar jujur untuk menabur bakti kepada manusia. Inilah jalan para rasul, nabi, sahabat-sahabat dan umumnya para salafussoleh yang telah banyak menabur bakti kepada manusia lain. Merekalah individu yang rapat dengan ummah untuk mengetahui apa masalah mereka dan akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah-masalah itu!

Marilah kita imbau enekdot-enekdot dalam lipatan sejarah untuk mengetahui betapa roh tauhid itulah yang menjadi obor kepada perjuangan mereka untuk menabur bakti kepada manusia lain… Mereka adalah insan yang berbakti kepada manusia lalu dikurniakan kuasa, bukan menjadikan kuasa sebagai syarat untuk menabur jasa. Allah jualah yang memberi kuasa dan menarik kuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Marilah kita renungi sama-sama renungi apa yang pernah saya tuliskan dalam buku: DI MANA DIA DI HATIKU?

Semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka… Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.
Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”
Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur  dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.
Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.
“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.
“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”
“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.
“Kalau begitu di mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.
Satu ketika yang lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.” Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.
Melihat enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika itu tiada DIA di hati ku!
Sering diri ku berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya keranaNya? Tegakah aku membenci juga keranaNya?
Muhasabah ini melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan.  Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan Allah?”
Dia menangis dan menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada DIA di hatinya…
Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”
Justeru belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang.
Dan akhirnya aku tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan… tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin.


Tuesday, April 9, 2013

SUNYI SEKEPING HATI

Sejak awal ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. Jadi, saya rasa kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai solat, dia solat lagi. Kemudian tafakur atau berzikir. Tak lama kemudian, terus membaca Al Quran.

Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa lama dia dalam keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, saya akan singgah di mana-mana masjid untuk iktikaf sambil melaksanakan tugasan atau menulis seadanya.

 Beberapa lama kemudian, tanpa saya sedari dia sudah berada di sebelah saya. Setelah saling bersalaman, menegur dan takruf, kami mula berbual.

 “Apa yang ustaz tulis dalam blog baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah suram.

Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB saya.

 “Entri yang mana?” tanya saya pinta kepastian.

 “Tajuknya, ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.”

 “Mengapa?”

 “Isteri saya telah meninggalkan rumah kami kerana memburu cinta barunya!” 

Saya benar-benar terkejut.

Bayangkan, lelaki yang berada di hadapan saya sekarang bukan muda. Dia telah berusia. Malah lebih tua daripada saya.

Sejak awal perbualan kami dia telah memaklumkan usianya… 65 tahun!

Dalam hati saya sudah terbayang, ini mesti kes isteri muda meninggalkan suami tua.

 “Berapa umur isteri tuan?” tanya saya untuk mendapat kepastian. “53 tahun,” jawabnya.

Saya tambah terkejut.

Wah, ini luar biasa. Cinta baru ‘orang lama’.

 “Dia terpaut dengan teman sepejabatnya. Dia menuntut fasakh daripada saya sejak setahun lalu.”

 “Alasannya?”

 “Penderaan mental!”

 Saya terdiam. Bunyi kipas di dinding masjid itu sahaja yang menemani kami. Sepi.

Sungguh sunyi… rumah Allah pada waktu-waktu begini.

Mungkin, sesunyi hati seorang lelaki yang kehilangan cintanya.

 “Tuan tidak melepaskannya?”

 “Tidak akan. Saya akan terus bertahan. Walaupun sekarang menuntut cerai di mahkamah dan telah pun lari dari rumah.”

 “Subhanallah!” saya terpaku kaku menghadapi realiti rumah tangga masa kini.

 Sangat ‘daring’ rupanya karenah manusia yang bercinta.

 Benarlah seperti yang pernah saya tuliskan dulu: Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, cinta adalah satu kuasa luar biasa yang tidak ada tandingannya. Sayangnya, ‘kuasa luar biasa’ itu sering disalah gunakan. Kuasa yang luar biasa itu sering membawa kemusnahan.

 Media massa melaporkan betapa ramai remaja wanita Melayu paling ramai lari dari rumah mengikut kekasih hati, lahirnya ramai anak luar nikah angkara cinta zina, bayi dibuang merata-rata akibat cinta terlarang… dan kini, cinta telah meruntuhkan rumah tangga manusia yang telah bergelar datuk dan nenek.

 “Apa yang boleh saya buat ustaz? Pujuk telah dipujuk. Marah sudah dimarah. Namun dia tidak mahu kembali…”

“Selalu ke masjid macam ni?” kilas saya untuk memberi ruang pada diri untuk merasa dan berfikir.

 Ini bukan soalan mudah. Tetapi ia menagih empati tahap tinggi yang benar-benar terpantau dari dalam hati nurani yang paling suci. Sesungguhnya, saya tidak mampu.

 “Sejak akhir-akhir ini, beginilah saya ustaz. Harta walaupun tidak lumayan tetapi sudah dikira lebih daripada cukup. Saya tak perlu bekerja lagi. Semua cukup. Segala-galanya berjalan dengan baik sekiranya tragedi ini tidak menimpa…” keluhnya.

 “Mengapa tiba-tiba ini terjadi?” soalnya lagi.

“Allah takdirkan segala-galanya untuk kita kembali kepadaNya. Saya rasa inilah jawapannya pada soalan yang awak tanyakan.

 Ingat lagi cerita ‘Wak’ dalam entri itu? Dia kembali kepada cinta Allah. Jangan ada dendam. Jangan ada marah… walaupun kita rasa ditipu dan dikecewakan. Usahakan kembali untuk mendapat cintanya, tetapi jika sudah ditemui jalan buntu. Berfikirlah semula… solat Istikharah, apakah perlu perkahwinan ini diteruskan?”

 “Ustaz rasa patut saya ceraikan dia?”

 “Saya tidak mampu membuat keputusan bagi pihak awak. Awak lebih faham situasi yang sedang dihadapi. Lagipun saya tidak mendengar daripada pihak yang lagi satu. Mahkamah yang lebih berhak untuk memutuskannya. Kita sekarang di masjid, untuk mencari ketenangan bukan mencari keadilan. Ketenangan untuk menghadapi ujian hasil akrabnya perhubungan dengan Allah – Tuhan yang mengurniakan ujian itu untuk kita.”

 “Apa pesan ustaz?”

“Pesan saya ialah pesan yang selalu saya bisikan pada diri saya sendiri… jagalah Allah, Allah akan jaga kita. Allah lebih besar daripada masalah kita. Pintalah kepada Allah agar memutuskan sesuatu yang baik buat kita walaupun keputusan itu nanti mungkin berlawanan dengan apa yang kita inginkan!”

 “Saya sepi ustaz…”

“Kita akan sepi bila hati kita sepi dengan Ilahi. Bila terpisah dengan Allah, kita akan sunyi walaupun semua orang yang tersayang masih di sisi. Kita boleh kehilangan seorang isteri, tetapi kita tidak mampu ‘kehilangan’ Allah dengan melupakan-Nya.”

 “Isteri saya akan kembali?”

“Itu tidak pasti. Hati orang… mana mungkin kita menentukannya. Tetapi yang pasti, tuan telah kembali. Kembali kepada Allah, kembali ke rumahNya ini… hati orang yang berada di rumah Allah tidak akan sunyi.”

 Saya teringat bagaimana Rasulullah SAW sendiri mengasingkan diri di tingkat atas masjid Nabawi ketika baginda diuji oleh ragam isteri-isterinya. Begitulah tawaduknya baginda. Baginda pun kembali kepada Allah sewaktu diuji.

 Lantaran itu, Allah telah menurunkan surah Al Tahrim ayat 5, sebagai penghibur kepada jiwanya.

 Firman Allah itu bermaksud: “Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

 Ya, kehilangan acap kali menemukan kita kepada sesuatu yang lebih berharga. Itulah ajaibnya cinta Allah dalam hati hamba-Nya.

Hati suami yang mencintai Allah selamanya tidak akan sunyi.

Sekiranya dia benar-benar mencintai Allah, dia akan tenang, sama ada ketika isteri masih di sisi atau sudah tiada lagi.

 Justeru, apabila diuji, kembalilah ke rumah Allah, dan jangan lupakan doa ini: ”Ya Allah, berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu. “

 Waktu menghampiri jam 11 tengah hari. Saya terpaksa pergi. Ketika melangkah ke luar masjid, mata saya sempat melirik ke arah lelaki tersebut. Dia masih duduk bersimpuh di sana, dengan Al Quran yang terus terbuka di tangannya.

 Ya Allah, Kau berikanlah ketenangan buat hatinya yang sunyi. Berikanlah kepadanya cintaMU yang sejati! Agar, kami tidak menjadi lelaki-lelaki yang sunyi. Amin.

  KREDIT2GENTARASA