Showing posts with label dengan. Show all posts
Showing posts with label dengan. Show all posts

Saturday, April 20, 2013

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT



Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa-apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1433 H yang berlalu jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1432 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui saban tahun itu  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.

Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan penuh  keberkatan.  Bayangkan, jika terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai boleh masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
·                       Kaum Nabi Nuh.
·                       Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. 
                         Mereka menyembah berhala.
·                       Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
·                       Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
·                       Firaun dan pengikutnya.
·                       Kaum Nabi Luth.
·                       Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
·                       Kaum Tubba’.

Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di setiap hari ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

Friday, April 19, 2013

BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR...


Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: ”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan  agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu kita sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu untuk kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!

Tuesday, April 16, 2013

PERBINCANGAN HUKUM KOSMETIK DENGAN SERBUK EMAS


Soalan
Saya ingin bertanya mengenai produk kosmetik yang mengandungi emas adakah menyerupai pemakaian susuk? setahu saya pemakaian susuk memerlukan seorang dukun atau bomoh. pada pandangan saya produk kosmetik sebegini macam tak sama dengan susuk tapi saya memerlukan penjelasan dari orang yang lebih arif.


Jawapan

Penggunaan botox dan susuk untuk menegangkan kulit dan susuk, telah diulas sebelum ini .
Namun, hari ini muncul satu lagi bentuk produk kecantikan wajah yang dikatakan semakin mendapat tempat di kalangan wanita khususnya. Saya kira soalan di atas adalah berkait dengan produk kosmetik baru tersebut.

Produk kecantikan kulit wajah yang menggunakan serbuk emas 24 karat sebagai salah satu dari unsur kandungannya.

Menurut maklumatnya, produk ini juga dikatakan sesuai bukan sahaja untuk wanita tetapi juga bagi semua peringkat umur baik wanita dan lelaki, ia dipromosi sebagai berkesan untuk perawatan kulit dan dapat membantu menghilangkan jerawat, jeragat, mengurangkan kedut, mencerahkan kulit yang kusam serta menjadikan kulit lebih halus, mulus dan berseri.
Laporan tersebut juga menyatakan antara kandungannya adalah serbuk emas 24 karat yang boleh menghasilkan nutrisi untuk kulit menjadi lebih berseri dan tegang.

Ia datang dalam pelbagai bentuk produk seperti sabun muka, tonik muka, pelembap, krim pelindung matahari dan krim malam yang berharga di antara RM75 hingga RM120 bagi setiap produk.

Antara cara menggunakannya pula ringkasnya seperti diterangkan dalam petikan artikel di bawah[1] :
Tak seperti facial pada umumnya, facial serbuk emas merupakan metode pembersihan kulit wajah dari kotoran dan komedo dengan bantuan serbuk emas 24 karat yang telah diubah menjadi gel, sehingga tak menimbulkan iritasi pada kulit maupun efek samping lainnya.

Demikian dikatakan Yohana Frida Chrisanty, pemilik sekaligus terapis Gracia Beauty Care yang berlokasi di Pangrango Plaza Lt.1 SA 25 kepada Jurnal Bogor, kemarin.
Dikatakan Santy, sapaan Yohana Frida Chisanty, butiran emas yang sudah menjadi gel tersebut dapat mencerahkan kulit wajah. "Jika melakukan facial dengan serbuk emas, kilau emas nan cantik bisa terpancar di wajah," ujar istri Paulus Indra itu.


Ada beberapa tahap dalam pengerjaan facial serbuk emas. Pertama wajah dibersihkan dulu dengan menggunakan facial foam. Kedua, dilakukan peeling dengan menggunakan serbuk emas untuk mengangkat sel kulit mati. "Di salon ini, serbuk emas digunakan pada peeling, vitamin, scrub, dan  masker wajah," ungkapnya.


Setelah proses peeling selesai, wajah diberi scrub sambil diberi pijatan agar kulit wajah lebih halus. Untuk proses peeling dan scrubing masing-masing dilakukan selama sepuluh menit. "Usai dibersihkan dari scrub, wajah akan diberi uap air kurang lebih selama sepuluh menit untuk membuka pori-pori kulit sehingga terjadi detoksifikasi atau pengeluaran racun.


ADAKAH IA SAMA DENGAN SUSUK?

Memang benar, susuk mempunyai campur tangan ilmu hitam, mantera seperti sihir. Namun perlu diingat susuk bukan semata-mata menjadi haram hanya disebabkan oleh campurtangan ilmu hitam tersebut, tetapi juga kerana salah guna metal bernilai (precious metal) emas untuk tujuan yang tidak diharuskan oleh Islam dan pelbagai sebab lain.

Jika demikian apakah status hukum bagi produk yang menggunakan serbuk emas ini?
Bagi mengetahui status hukumnya, terdapat beberapa persoalan pokok yang perlu dilihat iaitu :-
1)    Isu penggunaan emas sebagai hiasan.
2)    Penggunaan emas untuk perubatan.
3)    Adakah terdapat unsur mengubah ciptaan Allah demi kecantikan ?
4)    Status halal kandungan produk yang lain.
5)    Mana lebih dominan, untuk kecantikan atau perubatan?
6)    Kos produk yang jatuh dalam kategori membazir?
7)    Isu menutup tanda ketuaan secara salah.
8)    Status kesan sampingan dan mudarat kepada wajah dan tubuh.
9)    Penggunaannya untuk lelaki.

Itulah antara item yang perlu difahami dalam melihat pandangan Islam dalam penggunaan serbuk emas ini. Tanpa kajian menyeluruh berkenaan kesemua item di atas, sukar untuk menentukan hukum penggunaan serbuk emas ini dengan tepat. Untuk membincangkan semua isu di atas ia bakal mengambil masa yang panjang untuk kajian, huraian dan penulisan. Oleh itu, saya tidak akan menyentuh kesemuanya.

Jawapan ini hanyalah memulakan perbincangan hukum dalam hal ini, saya akan sertakan beberapa point secara ringkas serta padat, tidak memberatkan dan tidak pula terlalu ilmiah, terhadap beberapa perkara di atas. Walaupun ia mungkin belum cukup kuat untuk membuat satu kesimpulan hukum, namun ia boleh dijadikan panduan bagi mereka yang ingin mendalamkan lagi perbincangan.

1)     ISU PENGGUNAAN EMAS SEBAGAI HIASAN.

Nabi s.a.w menegaskan menggunakan emas sebagai perhiasan selain pemakaian di tubuh wanita, adalah diHARAMKAN bagi lelaki dan wanita:-

لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ  
Ertinya : Jangan kamu minum di dalam bekas emas dan perak, kerana cara itu adalah amalan mereka (kafir) dan untuk kamu kelak di akhirat sahaja ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Hasil daripada hadis ini, majoriti ulama berfatwa bahawa penggunaan emas sebagai hiasan seperti di pinggan, mangkuk, sudu, tepak sirih, tombol pintu, buku, al-Quran, jam, pen dan sebagainya adalah DIHARAMKAN bagi lelaki sepenuhnya.

Namun demikian khas untuk wanita, apa sahaja perhiasan yang digunakan di tubuhnya seperti rantai, gelang, cincin, jam emas adalah dibenarkan.

As-Syeikh Ibn Nujaim Al-Hanafi berkata :-

إذا ثبت - يعني التحريم - في الشرب : فالأكل كذلك ، والتطيب ، لاستوائهم في الاستعمال ، فيكون الوارد فيها يكون واردا فيما هو في معناها ، ولأنها تنعم بتنعم المترفهين والمسرفين وتشبه بهم
Ertinya : Apabila terbukti haram untuk minum darinya (emas), maka makan juga termasuk di dalamnya, demikian juga berhias dengannya disebabkan sama taraf penggunaannya, maka apa yang disebutkan (oleh hadis) itu akan terkena bagi semua yang sama ertinya dengannya, disebabkan semuanya memberi sifat kemewahan berlebihan, pembaziran dan menyerupainya.[2]

Ibn Qayyim pula menegaskan :-

وهذا التحريم لا يختص بالأكل والشرب ، بل يعم سائر وجوه الانتفاع ، فلا يحل له أن يغتسل بها ، ولا يتوضأ بها ، ولا يدهن فيها ، ولا يكتحل منها ، وهذا أمر لا يشك فيه عالم
Ertinya : Pengharaman ini tidak terhad kepada makan dan minum ( di dalam bekas emas ) sahaja, malah ia juga termasuk segala jenis bentuk penggunaannya, maka tidak halal mandi darinya, berwudhu, meletak lemak atau minyak masak padanya, bercelak darinya, ini semua perkara yang tidak ragu lagi akan hukum haramnya. [3]


Syeikh al-Bahuti al-Hanbali dan Ibn Mufleh menambah lagi penggunaan emas yang diharamkan seterusnya seperti di lampu, katil, kerusi, kasut, sudu, pintu, atap dan sebagainya.[4]

Walaupun semua isu di atas memperincikan perihal penggunaan emas sebagai perhiasan, bagaimana pula jika wanita menggunakannya untuk perhiasan di wajahnya?

Jawapannya, ia adalah halal, namun bagaimana pula jika emas tersebut meresap melalui penggunaan gel atau krim beserbuk emas ke dalam tisu wajahnya?. Adakah ia masih termasuk dalam kategori berhias yang dibenarkan atau tidak? 

Kerim atau gel itu akan menjadi haram bagi lelaki disebabkan sabdaan Nabi :-

عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم: أخذ حريرا فجعله في يمينه، وأخذ ذهبا فجعله في شماله، ثم قال: إن هذين حرام على ذكور أمتي
Ertinya : Dari Ali bin Abi Talib r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengambil sutera dan diletakkan di tangan kanannya, dan mengambil emas di tangan kirinya lalu berkata : kedua-dua item ini adalah haram untuk lelaki (sebagai perhiasan) di kalangan umatku ( Riwayat Abu Daud : sanad yang baik)

Namun bagi wanita, di sana mungkin akan wujud ilmuan Islam yang berpendapat ianya adalah diharuskan kerana ia masuk tergolong di dalam kategori perhiasan fizikal wanita. Cuma sedikit perbezaannya, yang disepakati harus di kalangan ulama adalah perhiasan luaran, tetapi dalam kes ini, ia telah menjadi perhiasan dalaman.

2) PENGGUNAAN EMAS UNTUK PERUBATAN

Dalil yang paling jelas dalam hal ini adalah hadis berikut :-

عن عرفجة بن أسعد: أصيب أنفي يوم الكلاب في الجاهلية فاتخذت أنفاً من ورق فأنتن علي فأمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم أن أتخذ أنفاً من ذهب
Ertinya : Daripada ‘Arfajah Bin As'ad : Hidungku telah tercedera ( terpotong) di hari peperangan Al-Kulab maka aku meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia berbau busuk lalu Nabi s.a.w telah mengarahkanku agar mengambil emas sebagai hidung (palsu). [5]

Jelas dari hadis di atas, diharuskan menjadikan emas sebagai salah satu alat bagi tujuan perubatan. Namun demikian, perlu diingat bagaimana keharusan yang diberikan oleh nabi kepada sahabat ini adalah di ketika keperluan yang sangat mendesak, iaitu ketiadaan hidung dan ia sudah berbau. Ditambah pula di zaman itu, tiada kemudahan dan kepakaran untuk menggunakan bahan lain seperti plastik dan lain-lain yang lebih sesuai. Nescaya di ketika wujudnya bahan lain yang boleh berfungsi dengan berkesan, ia adalah lebih baik berbanding menggunakan emas.

Disebutkan oleh para ulama:-

رخصّ النبي صلى الله عليه وسلم في استعمال الذهب في التداوي حالة الضرورة كستر عيب أو إزالة تشوه.

Ertinya : Nabi memberikan keringanan untuk menggunakan emas dalam hal perubatan di ketika terdesak seperti untuk menutup rasa aib yang teruk dan membuang kecacatan.

Juga telah diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Ahmad, bahawa dibenarkan untuk mengikat gigi dengan emas atau bergigi emas.[6]

Kaitannya dengan isu serbuk emas, jika benar ia adalah untuk tujuan perubatan, persoalannya adakah di sana tiada cara neutral menggunakan herba, tumbuhan dan lain-lain yang lebih murah? 

Adakah wajah si wanita dan lelaki itu terlalu teruk sehingga memerlukan penggunaan serbuk emas ini atau ia hanya tergolong dalam PENAMBAHAN kecantikan dan bukan perubatan?.

3)         ADAKAH TERDAPAT UNSUR MENGUBAH CIPTAAN ALLAH DEMI KECANTIKAN ?

Telah jelas daripada dalil AL-Quran dan Al-Hadis, sebarang pengubahan ciptaan Allah adalah diharamkan.

Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Dalil yang mengharamkan adalah ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Terdapat juga hadith yang menyebut :

لعن الله الواشمات والمستوشمات، والنامصات والمتنمصات، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله

Ertinya : "Allah melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya dan yang menjarangkan giginya UNTUK TUJUAN KECANTIKAN, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar Al-Asqolani berkata:-

فْهَم مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَة مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْن فَلَوْ اِحْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ

Ertinya : tindakan itu tercela dan haram bagi sesiapa yang melakukannya untuk kecantikan, namun kiranya ia memerlukan disebabkan oleh perubatan contohnya, ia adalah diharuskan [7]

Imam An-Nawawi pula sebelum itu mengulas :

وَهَذَا الْفِعْل حَرَام عَلَى الْفَاعِلَة وَالْمَفْعُول بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيث , وَلِأَنَّهُ تَغْيِير لِخَلْقِ اللَّه تَعَالَى , وَلِأَنَّهُ تَزْوِير وَلِأَنَّهُ تَدْلِيس 
Ertinya : Perbuatan ini haram ke atas pelanggan yang membuat dan pihak yang menyediakan khidmat 
berdasarkan hadis ini, dan KERANA ia adalah pengubahan ciptaan Allah, dan KERANA ia juga 
satu perdayaan dan penipuan. (Syarah Sohih Muslim)

Apa kaitan dengan serbuk emas? Sebagaimana telah disebutkan, perlu diteliti sama ada penggunaan krim atau gel itu akan menghilangkan kedutan kulit normal manusia, sehingga kulit yang biasa kedut pada umur tertentu tidak lagi berkedut secara tidak tabie, sama seperti pembedahan plastik, susuk dan botoks. Jika perubahan itu berlaku secara tidak normal melalui yang mengandungi produk serbuk emas itu, ia akan jatuh HARAM. Jika ia berjaya dibuktikan produk itu hanya meningkatkan kesihatan kulit secara normal dan sihat, tatkala itu ia akan dikira HARUS.

Proses menentukan status ini, mestilah dirujuk dan dibincang dengan para doctor perubatan dan ahli sains yang berkaitan.

4)  MANA LEBIH DOMINAN, UNTUK KECANTIKAN ATAU PERUBATAN?

Ini perkara yabg sangat perlu di kenal pasti, dan boleh sahaja memberikan status hukum yang berbeza mengikut individu dan situasi. Bermakna, bagi sesetangah indiivdu yang wajahnya mempunyai jerawat dan kerosakan kulit yang terlalu teruk, penggunaan ini tentunya menjadi HARUS kerana ia tergolong dalam hal perubatan. Namun begitu, bagi sesetengah indivud lain yang kulitnya hanya berkedut normal, atau sedikit kurang licin, tatkala itu penggunaan produk ini menjadi amat syubhat dan boleh tergolong di dalam katgeori mereka yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah serta ingin mengubahnya bagi menambah kecantikan.

5)  KOS PRODUK YANG JATUH DALAM KATEGORI MEMBAZIR?

Wang dan harta adalah amanah Allah ke atas diri. Firman Allah swt :

"Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji." (Luqman: 26)

Firman Allah lagi yang menunjukkan semua harat ini adalah milik Allah :

وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ
Ertinya : dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu ( An-Nur : 23)

Nabi s.a.w bersabda :-

إن الدنيا حلوة خضرة. وإن الله مستخلفكم فيها، فينظر كيف تعملون
Ertinya : Sesungguhnya dunia ini penuh indah dan hijau, dan Allah swt melantik kamu sebagai pengusahanya dan sentiasa melihat bagaimana kamu perlakukan (Riwayat Muslim)
Sebarang penggunaan harta mestilah dilihat kepada keperluan yang bertepatan dengan neraca yang diredhai oleh Allah selaku pemilik seluruh harta. Kita hanya memegang amanah Allah ini. Justeru, membelanjakan wang yang banyak untuk berlebihan dalam kecantikan fizikal sehingga melupakan tempat jatuhnya pandangan Allah iaitu hati dan amalan, adalah tergolong tercela menurut pandangan Islam.

6)     MENUTUP TANDA KETUAAN SECARA MENYONGSANG ARUS.

Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.

Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :
"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)

Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

Seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki ketika kulit mereka sudah memperlihatkan tanda-tanda ketuaan, maka bagi mengekalkan rupa yang muda, mereka melakukan proses botox, pembedahan plastik dan lebih teruk lagi susuk dengan sihir.  
Kini, muncul apa yang dinamakan oleh sebahagiannya sebagai susuk moden, berupa kosmetik gel dan krim yang mempunyai serbuk emas. Jika krim ini berfungsi secara menyongsang arus normal, ia pasti akan tergolong juga di dalam kategori HARAM tanpa syak lagi. Ia disebabkan unsur penipuan yang perdayaan umur yang berlaku.

KESIMPULAN

Sebagaimana yang saya sebutkan diawal artikel, tulisan ini sahaja tidak cukup untuk menentukan status hukum yang tepat bagi penggunaan kosmetik yang mengandungi serbuk emas, namun demikian, saya mengharapkan agar tulisan ringkas dan padat ini dapat memberi sedikit gambaran akan beberapa perkara penting yang akan dinilai oleh para ulama dalam mengenalpasti pendirian Islam dalam perkara baru seperti ini.

Sebarang perbincangan dan maklumat boleh dikongsi di ruangan komen. Semoga ia dapat memandu kita ke arah kehidupan yang lebih diredhai oleh Allah swt.

Sekian,

Dr. ZaharuddinAbd Rahman / 14 Dzul Ka'edah 1430 H / 2 Nov 2009

[1] http://www.jurnalbogor.com/?p=25793
[2] Al-Bahru Ar-Raiq, 8/210
[3] I'lam al-Muwaqqi'en, 1/207
[4] Kassyaf al-Qina', 1/51 ; Al-Adab As-Syar'iyyah
[5] Talkhis al-habir, Al-Haithami, 2/340 : ulama berbeza pendapat berkenaan sambungnya hadis ini, Ibn HIbban & menilainya sebagai sohih; At-Tirmizi : Hasan
[6] Lihat Tuhfatul Ahwazi,
[7] Fath Al-Bari,