Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah
dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita
akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja
apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam
dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa-apa, malah kita tetap gembira…
itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh
jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa
sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula
bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa?
Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya,
niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’
kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati
masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat? Amat
malang di Ramadan 1433 H yang berlalu jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan
dosa seperti di Ramadan 1432 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang
kita lalui saban tahun itu melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji
terlepas daripada api neraka.
Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan
Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan
ibadah. Mereka sedar Ramadan penuh keberkatan. Bayangkan, jika terlepas derjat dan pangkat di
sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia
kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa
di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan,
kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain,
malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat
Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu
disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi
orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak
sampai boleh masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi
orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai
terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa
ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan
jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal
kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari
ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan
kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah
boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang
mencipta kita. Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh
datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat
ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita
lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui
lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh
‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh
para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan
diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala
bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk
dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji
untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah
engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan
mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang
maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang
mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal
sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang
penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak
terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib
kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan,
kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam,
penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh
membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai
racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang
tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What
happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa
yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku
kepada (‘di luar’) diri kita.
Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu
peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah
menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka
walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan
syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka
dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah
musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan
air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang
bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana
sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat
Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum
Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa
hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang
engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang
sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk
daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu
ialah:
·
Kaum Nabi Nuh.
· Ashabul Rass –
mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah.
Mereka menyembah berhala.
·
Kaum Tsamud – kaum Nabi
Salleh.
·
Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
·
Firaun dan pengikutnya.
·
Kaum Nabi Luth.
·
Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
·
Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi
Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya –
Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada
umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada
penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan
lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda
lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun,
mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’
Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang
lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya
dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang
dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’
yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak
ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat
hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat
kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan
dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga
apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka
secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)
Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita
menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak
kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka
sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24
Ibnu Khatir menjelaskan keadaan
orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya
gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu
memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia
kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka
hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah
kehidupan yang sempit.”
Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan
taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat,
keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering
diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi
salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di setiap hari ini, apakah
penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita
di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

No comments:
Post a Comment