Usai program
Mukmin Profesional di IKIM, baru-baru ini, ramai yang datang menemui saya di
bahagian belakang dewan. Mereka bertanya itu dan ini… pelbagai soalan,
masalah dan rintihan menerjah. Saya setia menjadi pendengar. Kekadang masalah
yang dikemukakan sama seperti yang pernah saya hadapi, sedang hadapi atau
mungkin juga akan saya hadapi nanti.
Kekadang saya juga kelu dan kaku untuk
memberi respons. Dalam hati, cuma berdoa. Di luar saya tersenyum dan menaburkan
empati. Mudah-mudahan saya ikhlas… Saya tidaklah lebih baik daripada mereka,
cuma apabila berdakwah kita dituntut untuk memberi ingatan dan nasihat… untuk
diri sendiri dan orang lain. Dalam banyak-banyak soalan, rintihan dan masalah,
ada satu yang sangat menyentuh hati saya. Dalam tangisan, wanita itu menceritakan
masalahnya. Bukan dia sahaja yang menangis, tetapi teman di sebelahnya juga
menangis.
Ya Allah, saya tidak berdaya untuk membantu.
Cuma menjadi pendengar, mendoakan dan berpesan dengan kata-kata yang baik. Selepas
solat Asar, saya mencarinya untuk saya hadiahkan sebuah buku tulisan sendiri
yang ada menyentuh persoalannya secara langsung atau tidak langsung. Namun,
dalam pencarian itu, saya tertahan oleh individu-individu yang lain. Dia telah
pulang bersama sahabat-sahabatnya. Atas keterbatasan itu, maka saya nukilkan
tulisan ini sebagai ‘jawapan’ yang sederhana kepada pemasalahannya. Saya kerap
katakan, dalam buku-buku saya sudah ada jawapan pada sesetengah persoalan yang
diajukan oleh pembaca blog, pendengar rancangan dan peserta kursus yang saya kendalikan
bersama sahabat-sahabat saya. Tolong cari di situ…
Buat peserta yang berkenaan, dan kepada
mereka yang menghadapi persoalan yang sama…. inilah ‘hadiah’ kecil daripada
saya :
CICIPAN IMAN DARI PENDERHAKA
“Ayah tidak
bertanggungjawab! Dia tak layak menerima suatu apa pun dari kami.”
”Dia menagih
harta?”
”Tidak, tetapi dia
menagih kasih sayang. Kasih sayang yang dinafikannya dulu. Bukan setahun dua…
tetapi hampir lima puluh tahun!”
”Begitu sekali?”
balas saya simpati.
”Tak tanya apa dosa-dosanya terhadap ibu dan kami?”
”Tak payahlah,
jika seorang anak dah begitu marah, tentu ada sebab-sebabnya.”
”Benar. Dia
hakikatnya hanya ayah pada bin dan binti sahaja!” getusnya geram.
Saya diam.
Ini cerita sedih. Dia dan dua orang adik-beradiknya telah ditinggalkan ayahnya
puluhan tahun. Ketika itu usianya baru dua tahun.
”Ayah pergi
meninggalkan ibu ekoran pertengkaran kecil pada satu petang. Ayah tak pernah
pulang-pulang lagi selepas itu. Dan sejak itu juga saya, kakak dan abang
dibesarkan oleh ibu. Ibu membuat apa sahaja untuk membesarkan kami – dari
menjaja kuih, menjadi penoreh hinggalah mengambil upah mencuci kain di rumah
orang. Baru tahun lepas ibu yang menjanda dan menderita hampir separuh abad itu
meninggal dunia…,” begitu ceritanya kepada saya pada awal perbualan tadi.
”Kenapa kini
tiba-tiba saja ayah datang? Nak menjejak kasih konon!” katanya sinis.
”Awak masih
memanggilnya ayah?” soal saya kembali.
”Kenapa? Itu kan
hanya panggilan. Nak panggil apa lagi? Tapi tak ada apa-apa yang penting di
sebalik panggilan itu.”
”Panggilan itu
melayakkan dia mendapat kasih sayang awak!” pintas saya.
”Dia tidak layak.
Tiada kebaikan yang pernah saya kecapi daripada dia,” bantahnya.
”Apakah kita hanya
perlu berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita?” tanya saya,
mengalih tumpuan.
”Logiknya
begitulah. Buat baik kepada yang baik. Buat baik dibalas baik. Ini biasa. Hati
kita yang menghukumkan begitu.”
”Soal hati sangat
relatif. Hati manusia berbeza-beza. Sedangkan kebaikan dan kebenaran adalah
mutlak. Dan inilah asas agama. Kita perlu merujuk kepada agama. Maksudnya
kepada Tuhan, maka barulah nanti rasa hati kita tepat dengan kebenaran dan
kebaikan yang sebenar.”
Dia tenang.
Berfikir, mungkin.
”Pernah dengar
bagaimana kisah seorang perempuan lacur diampuni Allah kerana memberi minum
anjing yang sangat kehausan?” tanya saya.
Dia mengangguk.
”Masih ingat
bagaimana Rasulullah s.a.w. menziarahi wanita Yahudi yang sering meletakkan
duri dan najis di jalan yang baginda sering lalui?”
Dia mengangguk.
”Pernah baca sejarah
ketaatan dan kebaikan Siti Asiah sebagai isteri hatta kepada suaminya Firaun
laknatullah?”
Dia mengangguk.
”Apa maksud awak
dengan kisah-kisah itu?”
”Kitalah itu…
kisah saya dan kisah awak! Dalam hidup, Allah menyuruh kita berbuat baik. Dan
suruhan berbuat baik itu Allah tidak bataskan hanya kepada orang yang berbuat
baik kepada kita. Apalah kebaikan yang pernah diberikan oleh anjing kehausan
itu kepada perempuan lacur tersebut? Apalah kebaikan wanita Yahudi yang sering
menyakiti Rasulullah? Dan Firaun suami Siti Asiah itu hakikatnya adalah
sejahat-jahat manusia. Namun… kejahatan mereka itu dibalas oleh kebaikan… ”
”Payah, hati kita
terseksa. Kita telah dizalimi, macam mana nak balas baik lagi?” akuinya
terus-terang.
”Itulah salahnya
kita… hanya asyik memikirkan kita. Buat baik pun kerana kita, bukan kerana
Allah.”
”Apa maksud awak?”
”Kalau kita buat
baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu ertinya kita buat baik kerana
diri kita… bukan kerana Allah.”
”Tak faham saya…”
”Apabila kebaikan
telah kita rasai, maka timbul rasa nak membalasnya. Baik dibalas baik. Itu
kerana diri kitalah. Tapi kalau kerana Allah… lain.”
”Lain macam mana?”
”Kita tetap buat
baik, walaupun tidak dibalas baik. Sekalipun kepada orang yang tak buat baik
kepada kita…”
”Susah tu… hati
kita menolak.”
”Hati kita lagi?
Kan masih terikat dengan ’kita’. Ketepikan diri kita. Buatlah baik atas
dasar itu perintah Allah. Walaupun kebaikan kita tidak dibalas. Walaupun orang
yang kita buat baik itu bukan orang yang baik. Itulah ikhlas. Bukti kita tak
harapkan apa-apa balasan kecuali keredhaan Allah.”
”Jadi, awak rasa
ayah saya layak menerima kebaikan dari saya dan adik-beradik?
”Dia layak. Dan awak wajib memberikannya,”
jawab saya pendek.
“Walaupun dia tak bertanggungjawab? Tidak pernah bersusah kerana kami?”
”Jangan terikat
kepada kebaikan atau kejahatannya lagi. Tetapi ingatlah kepada Allah. Allah
wajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa…”
”Maksud awak, buat
baik kerana Allah?”
”Ya, begitulah.”
”Aneh sungguh,
orang jahat boleh jadi saluran kita kepada Allah.”
”Ya, bila kita
melayani orang jahat dan kejahatannya dengan satu kebaikan.”
”Apalah hikmah
agaknya ya… bila Tuhan perintahkan begitu?”
”Tentu banyak.
Antaranya, kebaikan akan menyebabkan orang jahat menjadi insaf dan sedar.”
”Macam mana tu?”
”Kembali kepada
kisah-kisah tadi. Bukankah perempuan Yahudi yang jahat itu akhirnya tunduk
dengan kebaikan Rasulullah s.a.w. dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah? Itu
bukti, bagaimana orang jahat boleh jadi baik apabila dihadapi dengan kebaikan.”
”Jadi, menurut
awak, tidak mustahil ayah juga akan berubah jika kami berikan kasih sayang
kepadanya.”
”Dia bukan akan
berubah. Sebenarnya dia dah berubah. Sebab itu dia datang kepada awak. Dan
sebaik sahaja awak berbuat demikian, awak pun akan berubah.”
”Berubah macam
mana?”
”Hati awak akan
menjadi tenang dan lapang. Kemarahan, dendam dan kekecewaan selama ini akan
mula terpadam. Memaafkan, akan melegakan bukan sahaja pada ayah awak yang
menerimanya malah awak yang memberinya juga. Percayalah. Itulah yang akan
memberikan erti kemanisan iman.”
”Tak sangka… ada
di antara jalan mendekatkan diri kepada Allah kekadang ada pada orang yang
derhakakan-Nya. Hakikatnya kejahatan juga boleh dijadikan kebaikan bila…”
”Kejahatan dibalas
dengan kebaikan. Itulah maksud sabda Rasululah s.a.w., buatlah baik kepada
orang yang berbuat jahat kepada kamu! Pergilah bertemu ayah awak. Berikan
kebaikan dengan tulus dan ikhlas. Berikan dia peluang membetulkan kesalahan
lampaunya!”

No comments:
Post a Comment