SOALAN
Assalamu'alaikum Ustaz, pertama sekali terima kasih sebab menyediakan
platform ini sebagai sumber ilmu..Pertanyaan saya adalah
berkaitan jual beli di pasar-pasar malam. Kebanyakkan harga makanan tidak meletakkan
harga. Setelah memilih lauk-lauk/makanan dan sebagainya barulah kita
membayarnya. Hanya pada ketika itu kita mengetahui harga makanan
tersebut... Jika kita bertanya harga setiap satu lauk-lauk/makanan tadi
adakah kita terlibat dengan gharar?
Mohon jawapan. Terima
kasih
JAWAPAN
Wa'aalaikumussalam,
Sebelum
persoalan ini dapat dirungkaikan, elok jika kita dapat sama-sama melihat
definisi Gharar menurut istilah Shariah iaitu:
ما يكون مستور العاقبة أو الخطر
الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم
Ertinya: Apa yang
terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak.
(Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani, 5/263 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)
Nabi Muhammad SAW menegaskan:
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر
Ertinya:
"Nabi melarang daripada mengurus perniagaan dengan
Gharar" (Riwayat Muslim, 5/3 )
Jahalah pula bermaksud
ketidaktahuan dengan jelas samada barang dibeli, atau harga barang yang perlu
bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam
kategori ‘jahalah' dan boleh juga dikategorikan sebagai ‘gharar' atau ketidaktentuan.
Memang benar tidak
meletakkan harga boleh adalah cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan
adakalanya boleh membawa kepada ‘gharar
fashiyh’ atau KETIDAPASTIAN
YANG BESAR yang merosakkan aqad.
Pun begitu, dalam konteks
membeli di pasar atau bazaar Ramadhan, tahap gharar ini telah menjadi
berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan
seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika
merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan.
Selain itu, nilai harga
pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya
disekitar bawah RM 100 sahaja. Jika makanan pula, biasanya sekitar RM 30 ke
bawah purata nilai pembelian. Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui
biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka disaat itu tidak menjadikan gharar
dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan aqad, ia digelar ‘gharar
yasir’ atau gharar yang kecil.
Ini berbeza dengan
situasi jika pesakit bertemu doktor perubatan atau pemilik kereta bertemu
mekanik kereta. Dimana biasanya gharar dalam harga dalam kedua contoh ini lebih
bahaya kerana ia melibatkan nilai yang besar, sukar ditarik semula, dibatalkan
dan pelanggan seolah TERPAKSA MEMBAYAR walau tidak bersetuju dengan harganya.
Oleh kerana itu, elok
semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali
menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas dari gharar atau tidak.
Sekian

No comments:
Post a Comment