Mengapa manusia melakukan
kejahatan? Para ulama memberi tiga sebab yang utama – pertama, tidak yakin
kepada Allah. Kedua, tidak yakin akan adanya Hari Akhirat dan ketiga, kerana
terlalu cinta kepada diri lalu mengabaikan orang lain.
Soalannya, mengapa orang
Islam pun masih melakukan kejahatan?
Ya, kerana kita hanya
percaya kepada ketiga-tiga perkara di atas tetapi tidak yakin. Kalau ditanyakan
apa bezanya antara percaya dan yakin?
Terlalu jauh bezanya. Percaya itu di
akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala yakin itu di hati,
dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.
Sebab pertama dan kedua
dinamakan Iman – yakin kepada Allah dan Hari Akhirat. Kedua sebab itu
menumbuhkan sebab yang ketiga yakni ukhwah atau persaudaraan (kasih sayang).
Dengan iman kepada Allah, terbentuklah kasih sayang sesama manusia. Jika
ditanya, siapakah manusia yang paling kasih kepada manusia lain? Jawabnya,
mudah. Siapa yang paling kasih kepada Allah maka dialah yang paling kasih
kepada manusia.
Mengapa begitu? Kerana
jika kita ingin mengasihi Allah, Allah letakkan syarat agar kita mengasihi
hambaNya. Allah minta manusia yang hendak mengasihiNya menjadi saluran untuk
Dia mengasihi hamba-hambaNya yang lain. Kita mesti menjadi saluran Allah untuk
menyalurkan ilmu, rezeki, kasih, sayang, keadilanNya kepada manusia.
Jadi, jika kenyataan ini
dipandang dari sisi yang lain, kita boleh tegaskan begini: Hanya orang yang
hatinya benar-benat yakin kepada Allah sahaja boleh menabur kebaikan dengan
seikhlas-ikhlasnya kepada manusia lain. Jika ada manusia yang ingin menaburkan
jasa dan kebaikan kepada manusia, tetapi tidak nampak sedikitpun keseriusannya
untuk mendekati Allah, maka hubaya-hubaya (berjati-hati), besar kemungkinan dia
hanya berpura-pura. Boleh jadi dia memberi untuk mendapat pulangan yang lebih
besar lagi!
Betapa ramai manusia yang
mendabik dada ingin membuat kebaikan kepada manusia lain tetapi mengabaikan
hubungannya dengan Allah. Mungkin sama ramainya dengan manusia yang mendakwa
hubungannya sangat akrab dengan Allah tetapi meminggirkan hubungan sesama
manusia. Inilah yang telah menimbulkan golongan manusia yang gila kuasa,
cinta kedudukan, dan obsesi ekonomi… kononnya untuk meneruskan legasi jasa
kepada orang lain.
Jangan kita lupa ‘yakin
kepada Allah’ adalah kunci kepada segala kebaikan dan kejujuran. Dan jangan
kita lupa pula ‘cinta kepada dunia’ itu kepala kepada segala kejahatan. Jika
Allah dipinggirkan dalam diri, keluarga, masyarakat, pertubuhan, negeri atau
sesebuah negara, maka jangan sekali-kali kita percaya dakwaan diri itu,
keluarga itu, keluarga, pertubuhan, negeri atau negara itu untuk berjasa kepada
manusia!
Seruan untuk mendekatkan
diri kepada Allah, mengamalkan syariat dan akhlak Islamiah mesti mendominasi
seruan-seruan yang lain. Dasar dakwah Islamiah adalah mengajak orang ramai
merdeka daripada penghambaan sesama manusia untuk bebas menghambakan diri
kepada Allah. Menyedarkan manusia agar memburu kelapangan Hari Akhirat dengan
meninggalkan kesempitan dunia – maksudnya, menggunakan nikmat dunia untuk
menadapatkan kenikmatan syurga! Dan akhirnya, meninggalkan kezaliman sistem
hidup buatan manusia untuk mendapat naungan keadilan sistem hidup Islam.
Di mana Allah dalam hati,
keluarga, masyarakat dan pertubuhan kita? Itulah satu muhasabah untuk difikirkan
jika kita benar-benar jujur untuk menabur bakti kepada manusia. Inilah jalan
para rasul, nabi, sahabat-sahabat dan umumnya para salafussoleh yang telah
banyak menabur bakti kepada manusia lain. Merekalah individu yang rapat dengan
ummah untuk mengetahui apa masalah mereka dan akrab dengan Allah untuk membantu
manusia menyelesaikan masalah-masalah itu!
Marilah kita imbau
enekdot-enekdot dalam lipatan sejarah untuk mengetahui betapa roh tauhid itulah
yang menjadi obor kepada perjuangan mereka untuk menabur bakti kepada manusia
lain… Mereka adalah insan yang berbakti kepada manusia lalu dikurniakan kuasa,
bukan menjadikan kuasa sebagai syarat untuk menabur jasa. Allah jualah yang
memberi kuasa dan menarik kuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Marilah kita renungi sama-sama renungi apa
yang pernah saya tuliskan dalam buku: DI MANA DIA DI HATIKU?
Semasa Rasulullah
s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk
hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan
hampir menemui mereka… Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w
menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah
kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.
Sewaktu Da’thur
seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke
leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada
ku?”
Rasulullah saw
dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur
dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw…
ada DIA di hati baginda.
Diceritakan bahawa
suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala
kambing di tengah sebuah padang pasir.
“Boleh kau jualkan
kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada
budak tersebut.
“Maaf tuan, tidak
boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya
diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”
“Kambing ini
terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau
jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu
telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina
Umar lagi sengaja menguji.
“Kalau begitu di
mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan
yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing
yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya
kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.
Satu ketika yang
lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang
jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina
Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas
perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika
ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.”
Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.
Melihat
enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di
manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan
dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia
hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta
Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya
cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika
itu tiada DIA di hati ku!
Sering diri ku
berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru
dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila
Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan,
ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”
Kata-kata itu
sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung,
apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa,
lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara
kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku
menyayangi hanya keranaNya? Tegakah aku membenci juga keranaNya?
Muhasabah ini
melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap
hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan
segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah
aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika
ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini
sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya,
tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan
aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu
ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan
Allah?”
Dia menangis dan
menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan
tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya,
aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata.
Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah
tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada
DIA di hatinya…
Jika seorang sufi
yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada
dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada
dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia
sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan
aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan
yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap
mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk
mencintai-Nya…”
Justeru belum ada
DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku
akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat,
pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku
mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar
daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang.
Dan akhirnya aku
tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan…
tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa
nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin.

No comments:
Post a Comment