Percayalah, kekadang manusia hanya
inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa
dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan
menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…
Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat
tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan.
Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.
Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar
motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan
masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin
didengar.
Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk
menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang
dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk
diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi
hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.
Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut
dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan
bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar,
pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang
pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.
Dari saya, hanya seraut catatan.
HANYA DENGAN MENDENGAR…
Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan.
Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan
tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak
didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak.
Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang
begini, akan gagal dalam hidupnya.
Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan
bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta
yang pertama ialah mendengar.”
Ertinya, kekasih yang baik ialah
kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya.
Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.
Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang
banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam
masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut
sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya,
kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang
lain.
Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita
selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita
akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita
menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan.
Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu
banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita
banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh
dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita
seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan.
Mengapa?
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang
tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau
dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara.
Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita
lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!
Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama?
Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar
menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan
ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada
orang yang asyik berkata-kata.
Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh.
Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat
kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan
bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak
berilmu?
Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar –
“sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah
maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada
hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih”
setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di
kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang
kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya bila-bila
masa sahaja.
Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah
tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang
kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar
dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan
serentak. Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah
mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu
masa!
Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar
rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu
mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan
darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat,
derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah
juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…
Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar.
Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu
hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap
mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang
sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang
pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat
seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah
itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam
soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia
senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia
mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya
itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan
tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan
menunjukkan reaksi selamba.
Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw.
Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan
pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara,
tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di
satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat
sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada
pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat
itu!
Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah
swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi
mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak
dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata
sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput
bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.
Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup
dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan
hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati.
Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu
ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan
menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam,
jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.
Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan
terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya
bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh.
Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin
berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin
serba tahu…
Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan
menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari,
rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang
semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.

No comments:
Post a Comment