Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan
doa ini: ”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri
walaupun sekelip mata.”
Mengapa? kerana
diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita
dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan
kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah
dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak
mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita
bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang
diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu
mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang
manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu
yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku
sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan
sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya,
apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima
warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya
memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa?
Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita
sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki
langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya
sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan
warna jingga.”
Tidak! Kita tidak
akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan
menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam
seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap
kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas
kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama
datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan
Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan
segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk
mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan
oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya,
letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri,
namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang
baik.”
Jika yang
diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka
dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali
keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan,
kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia
sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar,
rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak
bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat
hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada
Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap
takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu kita sekelumit cuma.
Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu untuk kita maka yakinlah Kasih
SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat.
Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara
hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba
Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!

No comments:
Post a Comment