"Masyaallah,
sangat hebat kesannya tulisan ustaz ini dalam diri saya"
"Anta
memang satu-satunya insan hebat dan mampu mengulas dengan sangat jelas dan
adil"
"Buku
yang sangat mampu mengubah seluruh masyarakat"
"Penyampaian
yang saudara buat tadi memang sangat-sangat cemerlang, kalau bukan
kerananya kta tidak mampu dapat kontrak nih"
"Dato'
telah membuat satu keputusan yang sangat bernas, pelik mengapa orang lain tidak
dapat memikirkan seperti yang Dato fikirkan"
"Saya
kira Dr adalah orang yang paling berautoriti dalam bidang ini, apa yang Dr
cakap adalah hujjah utama kami"
"Boss,
cekap betul boss menyelesaikan masalah tadi, kami tak sangka hal yang amat
rumit nampak begitu mudah bila boss bagi penyelesaian"
Ini
mungkin segelintir bentuk pujian yang dilontarkan kepada tokoh ilmuan Islam,
tokoh politik, ahli akademik, ketua syarikat dan lain-lain. Adakah pujian
ini dibenarkan oleh Islam dibuat secara terbuka di hadapan individu terbabit?
Dalam
artikel kali ini, saya berkongsi sedikit pandangan berkenaan bahaya sangka
buruk jenis dosa yang semakin membiak di dalam masyarakat kita. Namun
begitu, sebenarnya masih banyak isu dan fakta berkaitan sangka buruk yang belum
sempat untuk saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. InshaAllah saya akan
cuba kongsikannya bersama pembaca selepas ini.
Cumanya
saya ingin dahulukan artikel ini disebabkan agak ramai yang terlibat dan
kesannya yang tidak kurang dahsyat. Isunya adalah puji memuji, apakah pandangan
Islam untuk kita memuji seseorang di hadapannya?.
Apakah pula bezanya dengan
membodek dan pujian sebenar?.
Sebagai
asasnya, mari kita lihat beberapa nas hadis dalam isu berkaitan. Diriwayatkan
dalam sebuah hadis :-
عَنْ أبي مُوسَى قال سَمِعَ
النبيُّ رَجُلاً يُثْني عَلَى رَجُلٍ ويُطْرِيه في المِدْحَةِ فقال أهْلَكْتُمْ
أوْ قَطَعْتُمْ ظَهْرَ الرَّجُلِ
Ertinya :
Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih
dalam pujiannya maka Rasulullah s.a.w : Kamu telah merosakkannya dan telah
memotong belakangnya (seolah-olah) " ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663 )
PUJIAN
ATAU ‘MEMBODEK'
Sekali
baca kelihatan kita ditegah sama sekali untuk memuji sesorang di hadapannya.
Namun Imam Badr Al-Aini ketika menghuraikan hadis ini menyebut pujian yang
"memotong belakang" itu adalah dalam konteks seseorang terlalu
berlebihan dalam pujiannya sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki oleh
orang yang dipuji sehingga menyebabkan datangnya sifat ‘ujub dalam diri,
merosakkan hati, menghancur keikhlasan dan merasa diri benar lagi hebat
sentiasa.
Padahal realitinya tidak sedemikian.
Perkara
ini dalam kata lainnya adalah 'membodek'. Ia kerap berlaku kepada orang
berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan
keduniaan. Justeru jika anda memegang jawatan penting, pemutus keputusan di
syarikat atau organisasi, anda perlu berhati-hati kerana akan muncul ramai
pemuji dan pemuja yang boleh bertujuan 'bodek'. Kali ini sangka buruk dalam hal
ini perlu atas nama berhati-hati dan beringat. Namun bukan semua akan demikian,
mungkin segelintirnya akan memuji dengan benar.
Pujian
melampau jenis ‘bodek' bukan sahaja boleh dibuat melalui ungkapan lisan malah
ia juga dibuat melalui pergerakan fizikal seperti cium tangan dan sebagainya.
Hasilnya, orang yang diperlakukan sedemikian boleh diuji dengan hebat sehingga
mereka akan menjadi seorang yang menyangka superior atas segala sesuatu, terbijak, paling
berpengaruh dan lain-lain. Sehingga tiada lagi proses peningkatan perlu dibuat.
Inilah yang pernah memerangkap perasaan bekas Perdana Menteri, beliau sendiri
mengakuinya banyak kali, terbaru di dalam web beliau apabila beliau mengatakan
:-
"Begitu
juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya
merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya
meletakkan jawatan.: ( rujuk http://www.chedet.com/)
Jelasnya,
sang bekas perdana menteri tertangkap dengan pujian dan gerakan sokongan orang
di sekelilingnya. Kebanyakan mereka yang memuji bukan 'pujian sebenar' namun
hanya dibuat kerana kepentingan diri masing-masing. Agar dilihat taat, orang
setia dan lain-lain.
Ini biasa
berlaku bagi orang berjawatan. Lihat sahaja boss di tempat anda bekerja, sudah tentu ada yang 'kipas' di dalam mesyuarat, di luar
mesyuarat dan lain-lain. Sehingga adakalanya keputusan yang 'TIDAK BIJAK'
dilihat bijak akibat bodekan dan pujian palsu ini. Selepas si boss tiada
jawatan, baru akan diketahui pujian itu hakiki atau palsu semata-mata. Inilah
yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri.
Budaya
'kipas' dan 'bodek' ini tidak lain kecuali satu tindakan yang haram di sisi
Islam dan ia ternyata dari hadis di atas. Yang mana ia pasti membawa kesan
buruk kepada penerima 'bodekan'. Malah kesan buruk itu bukan sahaja terhenti
kepada orang yang di'bodek' malah seluruh organisasi akan terkesan. Sudah
tentu, apabila keputusan yang salah terus dipuji dan disokong kerana 'bodek',
akhirnya memudaratkan masyarakat, organisasi serta syarikat.
PUJIAN
SEBENAR
Bagi
sesetengah individu yang dipuji bukan kerana jawatan yang dipegangnya atau apa
jua pengaruh keduniaan. Sebagai contoh ia seorang ulama yang alim lagi rendah
diri, tokoh masyarakat yang berjasa, penulis buku yang berkualiti, majalah dan
lain-lain yang cekap dan bijak dalam bidangnya.
Pujian yang ditujukan kepada
hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar.
Ia tidak jatuh dalam kategori 'bodek' tapi ia masih mempunyai kebahayaan yang
mendalam kesannya.
Sebuah hadis berbunyi :-
احثوا التراب في وجوه المداحين
Ertinya :
Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji ( Abu Daud, no 4170 )
Sebahagian
para ulama mentakwilkan maksud hadis ini kepada pujian kepada yang tidak layak
, dan mengada-adakan yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar
sentiasa, juga merasa hebat. (Umdah al-Qari, 22/132 )
Imam
Al-Khattabi ketika menghuraikan hadis di atas berkata :-
فَأَمَّا مَنْ مَدَحَ الرَّجُل
عَلَى الْفِعْل الْحَسَن تَرْغِيبًا لَهُ فِي أَمْثَاله وَتَحْرِيضًا لِلنَّاسِ
عَلَى الِاقْتِدَاء بِهِ فِي أَشْبَاهه , فَلَيْسَ بِمَدَّاحٍ
Ertinya :
Barangsiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan
tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat
yang sama sepertinya, maka ia TIDAKLAH TERMASUK dalam kategori
"maddah" iaitu yang pemuji terkeji"
( Ma'alim as-Sunan)
Walau apa
jua takwil, teks hadis ini juga merangkumkan segala jenis pujian benar di
hadapan orang yang dipujinya. Pengajaran dari hadis sudah tentu jangan terlalu
banyak memuji orang dihadapannya walalupun pujian itu adalah BENAR DAN IKHLAS
kerana ia tanpa disangka boleh membawa perasaan lupa diri, dan menghilangkan
ikhlas dalam kerja-kerja yang dilakukannya.
Kerana itulah sebuah hadis sohih
menyebut :-
سمع النبي ـ صلى الله عليه وسلم
ـ رجلًا يُثنى على رجل ويُطْرِيهِ في المِدْحَةِ، فقال أهلكتم ـ أو قطعتم ـ ظهر
الرَّجل
Ertinya :
Musa Al-Asyaary berkata : Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang
lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu
telah memotong diri lelaki tersebut" ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun
begitu, tidak boleh dinafikan Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam
situasi-situasi tertentu dan kepada individu tertentu. Situasi tertentu seperti
:-
a- Orang
yang kehilangan keyakinan diri dalam buat perkara baik. Tatkala itu,
kita ungkit kebaikkan tindakannya untuk beri kembali semangat dan ada orang
yang menghargai kerja baiknya.
b- Orang
yang melakukan tugasan kebaikan yang sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala
itu, boleh diberikan pujian atas keberaniannya dan berniat agar ia mampu
dicontohi oleh orang lain.
c- Individu
yang layak dicontohi dan diyakini punyai kekuatan iman yang baik dari tergoda
dengan sifat ‘ujub (ta'ajub
dengan kehebatan diri). Tatkala itu, harus memujinya dengan pengetahuannya.
Tujuan utama agar orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan role model
dan contoh ikutan. Hal ini jelas adalah Nabi s.a.w memuji secara terangan
beberapa sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai ( Aminul
Ummah ) individu yang
paling jujur dari umat Muhammad, dan pujian kepada Umar al-Khattab r.a :
لو سلك عمر بن الخطاب طريقاً
لسلك الشيطان طريقاً آخر
Ertinya :
Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain (
kerana tidak berani lalui jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya') (
Riwayat Al-Bukhari)
Dan juga sebuah lagi hadis :-
ما طلعت الشمس على رجل خير من
عمر
Ertinya :
Tiadalah terbitnya matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat dari Umar
" ( Riwayat Al-Hakim, 3/96 ; Sohih isnadnya)
Hadis ini bersifat simbolik
menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar r.a kepada umat
Muhammad s.a.w. Sebenarnya terlalu banyak hadis-hadis yang menunjukkan pujian
baginda kepada para sahabatnya terutamanya sahabat-sahabat besar seperti Abu
Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan
ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.
d-
Kanak-kanak dipuji oleh guru dan ibu bapanya bagi merangsang minda dan
keyakinan diri si kanak-kanak.
e-
Pemimpin yang telus, adil, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan
tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t dengan kadar sederhana.
Walaupun
semua jenis pujian dalam beberapa situasi seperti ini dibenarkan, si pemuji
tidak tergolong dalam kategori yang dilarang oleh Islam. Satu lagi ingatan Nabi
s.a.w bagi orang yang ingin memuji adalah :-
إن كان أحدكم مادحًا أخاه لا محالة فليقُل: أحْسَب كذا وكذا إن كان يَرى أنه كذلك، وحَسِيبُه الله، ولا يُزكِّي عَلَى الله أحدًا
Ertinya
: Sekiranya ada dari kalangan kamu ingin tidak dapat untuk mengelak dari
perlu memuji saudaranya, maka katakanlah : "Aku rasa akan dikira amalan
sekian sekian yang dilakukannya..dan Allah akan mengiranya, dan tiadalah
seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah ( Riwayat
Al-Bukhari, no 2519, 2/946)
TUGAS MEREKA YANG DIPUJI
Seterusnya terpulang kepada
orang yang dipuji untuk mengawal perasaan dalamannya agar menerima pujian
dengan segera mengembalikan kepada izin Allah dan kuasaNya. Justeru,
perisai ini akan dapat menghalang dirinya dari merasakan itu kehebatan yang
diusahakannya semata.
Sebagaimana yang diajar oleh para sahabat Nabi apabila mereka dipuji, mereka akan terus berdoa
secara rendah diri dengan doanya :-
اللهم لا تؤاخذني بما يقولون ،
واغفر لي مالا يعلمون (واجعلني خيراً مما يظنون)
Ertinya :
Ya Allah janganlah kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka,
dan ampunkankan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (jadikanlah
daku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan) (Riwayat Abi Syaibah, no 35703,
7/242 ; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)
Sehebat-hebat Nabi s.a.w yang
berjaya membuka Mekkah pun tunduk dan menyerahkan pujian kepada Allah, dan
demikian juga Zulqarnain sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah
Al-Kahfi, kejayaannya membina tembok hebat dan kukuh dikembalikan pujian kepada
Allah.
Namun demikian, orang yang
dipuji janganlah pula terlalu merendah diri secara salah sehingga mencerca diri
secara terbuka apabila dipuji orang ramai. Ia tidak
diperlukan, jika ingin menewaskan perasaan ujub di hati, cercalah diri secara
sendirian.
Jangan
juga tiba-tiba berterus terang menyebut diri tidak ikhlas atau apa jua yang
merosakkan kepercayaan orang kepada diri.
Jangan pula berlebihan membawa
kisah pujian kepada ramai orang lain kerana ia boleh membawa satu penyakit lain
di kalangan pendengar pula iaitu HASAD DENGKI. Jangan
juga mengambil pujian itu secara serius dan berhasrat mendapatkannya lagi.
Kerana sekali ia terbuku di hati sedemikian, ia akan merosakkan niat dan
melemahkan kerja amal kepada pemburuan pujian manusia yang sementara.
Akhirnya,
apabila tiada lagi pujian, tamatlah juga usaha kita. Lebih bimbang, usaha
berterusan tapi tamatlah catatan amal dan pahala di sisi Allah kerana dilakukan
kerana manusia. Nauzubillah.
Sekadar
itu artikel ringkas untuk ingatan diri saya dan rakan-rakan. Terutama mereka
yang kerap dipuji. Ingatan juga buat mereka yang ringan tangan dan lidah
memuji, bukannya niat saya agar anda stop memuji
mereka yang layak.
Bukan juga
niat saya untuk motivasikan anda untuk terus dan asyik memuji tanpa memikirkan
kebahayaan kepada diri yang dipuji dan diharap turut fikirkan orang lain yang
mendengar dan membaca pujian-pujian, ada yang mudah jadi cemburu secara
tiba-tiba.
Terus
terang, dalam dunia internet ini terdapat ramai bloggers yang kerap dipuji sehingga menimbulkan
cemburu di sisi pembaca lain atau bloggers lain yang kurang popular. Ini
menyebabkan ada kalangan mereka yang menghantar kecaman, kutukan kepada bloggers bagi merosakkan minda dan kemampuan si bloggers menghasilkan tulisan yang baik. Bayangkan,
sampai begitu sekali !!.
Akhirnya, benar terdapat nas
yang menyebut bahawa pujian dan nikmat yang diperolehi oleh amalan solehnya
seseorang (tanpa ia berniatkan untuk mendapat pujian) adalah merupakan satu
nikmat awal dari Allah untuknya, namun kita perlu teringat bahawa terdapat
individu yang telah menikmati pujian atas amalan baiknya di dunia ini mungkin
akan terlepas dari pulangan nikmat di akhirat.
Demikian
intipati kata-kata khalifah Abu Bakar yang bimbang nikmat awal di dunia akan
menghalang nikmat di akhirat. Itulah akibat terselit keinginan pujian dunia
semasa lakukan amal soleh. Demikian berhati-hatinya Abu Bakar as-Siddiq. Allah
Akbar !
Tidak
dinafikan sedikit-sedikit penghargaan dan pujian perlu untuk merangsang terus
menulis secara percuma, bekerja dan beramal untuk ummah, namun ia perlu dilihat
secara berhati-hati.
Semoga
Allah memelihara kita semua dari tersalah guna pujian yang sebenarnya manis
buat hati untuk terus berjuang memartabatkan Islam.
Sekian