Wednesday, May 8, 2013

AKU TINGGALKAN DIA KERANA ALLAH...


Aku Tinggalkan Dia kerana Allah..
Sakitnya Hanya Allah yang Tahu..
Lantaran Kerana Takutkan Azab Allah..
Ku Biarkan Kesakitan Merebak di Kalbuku..
Kerana ku tahu, Redha Allah yang akan merawatku...

Ku tinggalkan Dia Kerana Allah..
Kerana ku tahu diriku tidak mampu..
Menjadi Sayap Kanan untuk dirinya..
Apakan daya diriku..

Ku tinggalkan Dia Kerana Allah..
Kerana ku yakin dengan Kehadiran diriku..
Hanya menjadi titik noda Dalam Hatinya..
Kerna Iman ku turut lemah..

Ku Tinggalkan Dia Kerana Allah..
Kerana ku tahu bahawa diriku..
Bisa meruntuhkan Imannya..
Kerana Perasaan yang ada dalam diriku..
Melebihi kecintaanku Kepada Yang Maha Kuasa..

Ku Tinggalkan Dia Kerana Allah..
Hubungan yang tiada restu..
Tidak Akan membawa kebahagian dan ketenangan Jiwa..
Bahkan membuatkan hati lebih jauh Dari-Nya..

Ku Tinggalkan Dia Kerana Allah..
Kerana ku lebih yakin..
Bidadari-bidadari yang berada di sekelilingnya..
Lebih layak untuk menjadi pendamping hidupnya..

Ku Tinggalkan Dia Kerana Allah..
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang Aku rasa..
Tidak mampu ku Ungkapkan dengan kata-kata..
Hanya jari jemari yang masih gagah meluahkan isi hati..
Yang kian semakin membengkak kerana mengenangkan dosa-dosa...

Ku Tinggalkan Dia kerana Allah...
Walau air mata deras mengalir..
Akan Ku gagahkan jua untuk menghadapi liku-liku kehidupan..
Kerana ku tahu kematian sering mengintai diriku yang sering kealpaan..

Ku Tinggalkan Dia Kerana Allah...
Untuk Mencari redha-Mu
Yang selama ini aku tinggalkan...
Untuk Mensyukuri Nikmat-Mu
Yang selama ini Aku Lupakan...

Ya Allah..
Aku Tinggalkan Dia Kerana Mu Ya Allah
Kerana Sayangkan Dirinya, Lalu Aku meninggalkan Dia..
Kerana Aku bimbangi, lantaran Diriku yang Lemah Jiwa..
menyebabkan dirinya juga terpalit dosa..

Ya Allah..
Aku Tinggalkan Dia Kerana Mu Ya Allah..
Ku dapat melihat langkah-langkah penghijrahannya
untuk mendapatkan Keredhaan-Mu..
Tetapi kehadiranku hanya akan menjadi halangan di perjalanannya..
Kerana aku masih lemah..

Ya Allah..
Bersihkan hatiku..
Bersihkan hatinya..
Aku tahu dengan keputusan diriku ini akan menyebabkan aku lebih sengsara..
Tetapi itu sahaja jalan terbaik untuk menyelamatkan diriku dan dirinya..

Ya Allah..
Masukkanlah dirinya dalam golongan hamba-mu Yang bertaqwa..
Temukanlah dirinya dengan pasangan yang setanding dengan ketaqwaanya..
Melepaskan dirinya bukanlah sesuatu yang mudah..
Tetapi ku yakin, dengan Keredhaan DariMu Ya Allah, akan menguatkan dan memudahkan jalanku...

Ya Allah..
Ampunkanlah segala dosaku dan ibubapaku...
Ku tahu saat kematianku semakin menghampiri...
Matikanlah aku dalam sebaik-baik kematian..

Ya Allah..
Kuatkanlah hatiku dalam menghadapi segala Ujian dari-Mu..
Peliharalah hatiku dan imanku..
Peliharalah hati dan imannya..
Kerana ku tahu..
Engkaulah Sebaik-baik Penjaga dan Pemelihara..


Tuesday, May 7, 2013

REVOLUSI BERUK..


Terimalah…


Sesungguhnya ilmu itu bukanlah kejahilan
akan tetapi ada ilmu yang bahayanya
lebih daripada kejahilan.
-Imam Al Ghazali
REVOLUSI BERUK

Raja Beruk termenung.Ekor panjangnya melilit di celah batang sambil tangannya yang berbulu itu memegang ranting dahan.
Dia termenung.Anak-anak buahnya bergayutan dari dahan ke dahan, berteriak, menjerit penuh riang.
“Nyet…nyet…nyet,”gegak-gempita, rimba raya ditusuk jeritan beruk-beruk hutan. Tapi Raja Beruk terus termenung…
“Mengapa paduka tuan?”tanya Menteri Beruk.
Diam..tiada jawapan. Raja Beruk terus diam.
“Mengapa paduka tuan?”Tanya Menteri Beruk sekali lagi.
“Aku risau…”sepatah jawab Raja Beruk.
Pokok ketapang tempat semayam Raja Beruk tetap tegap. Buah-buahan hutan hadiah anak buahnya tidak dijamah.
Menteri Besar terus tertanya-tanya. Apa dah jadi pada Rajanya?
Raja Beruk tetap risau.
“Apa khabar utusan-utusan yang kita tugaskan?”
“Sudah seminggu mereka tak balik-balik, Kakap belum balik dari Selatan. Semik belum balik dari Barat, Koring belum sampai dari Timur…Mana Sigah dari Utara?”keluh Raja Beruk.
“Jangan risau tuanku ,mereka pasti balik”,pujuk Menteri Beruk.
“Itu aku tahu tetapi berapa lama?”bentak Raja Beruk dengan nada tinggi. Marah nampaknya dia,
“Mana manuskrip itu? Cuba bacakan sekali lagi!”perintah Raja Beruk.Memanda Menteri mencapai kertas keramat yang dimaksudkan. Dikeluarkan dari celah banir pokok yang terlindung dengan daun-daun kayu. Dalam hati Memanda Menteri Beruk hot juga. Nak protes depan-depan tak berani. Dia dah jemu sebab kali ini sudah seratus sembilan puluh kali manuskrip itu dikeluarkan. Dan dia sudah pasti,pasti..dia diperintahkan membacanya lagi .
Tiba-tiba…
“Nyet…nyet…ook…ook…”suara garau Raja Beruk bertitah.
Suaranya bergema di kawasan hutan itu. Anak buah yang tadinya bergayutan menjerit ,bergurau,dan bersuka-suka diam serta merta. Semuanya taat perintah.Raja Beruk perintahkan diam. Dia ingin menghayati isi manuskrip itu. Jangan diganggu konsentrasinya. Anak buahnya mesti diam.Dan mereka nampaknya terus patuh. Titah R aja Beruk tetap dijunjung.
Meskipun beruk sama-sama beruk tetapi ia jadi Raja. Dan rakyatnya hanya menerima beruk menjadi raja. Sudah tentu!
“Ini perutusan agung dari datukmu Darwin:asal kami adalah beruk…tetapi sekarang kami dipanggil manusia. Kami bina tamadun hidup yang tinggi, kekayaan dari perut bumi kami gali, kami duduk dalam rumah berhawa dingin dan menikmati makan-minum,tidur baring dan berhibur dengan selesa. Kami bina ia dengan keupayaan kami sendiri. Dengan otak yang telah berkembang. Ekor kami jadi kecil,wajah kami jadi cantik…
Semua penukaran semulajadi dan ini kami tangani dengan revolusi otak dan evolusi fizikal…
“Gunakan otak wahai saudara-saudaraku beruk!Hutan akan musnah,pokok tempat bergayut akan ditebang manusia. Buah kelubi,pisang hutan dan lain-lain milik kamu akan pupus. Teknologi manusia akan menghimpit kamu. Satu dan hanya satu jalan keluar …Beruk-beruk mesti jadi manusia!Jadilah manusia!Jadilah manusia!”
Begitulah isi manuskrip yang dibaca oleh Menteri Beruk.
Mata Raja Beruk jadi bersinar,fikirannya melayang-layang…
Aku…detik hatinya,aku akan memimpin rakyatku untuk satu revolusi. Revolusi besar,hebat dan gagah. Apa dia? Menukar dan memimpin beruk menjadi manusia! Nah, itu misi revolusiku…
Itulah impian Raja Beruk.Mimpi yang dibawanya ketika bergayut.Mimpi yang dibawanya ketika memamah buah kelubi.
Mimpi ketika bermesra dengan permaisuri beruk…mimpinya ingin menjadi manusia.
Anak buahnya memandang Raja Beruk dengan mata terkebil-kebil. Simpati ada,rasa risau pun ada.Selalunya badan sasa Raja Beruk akan kelihatan melompat ke sana ke mari.
Memimpin ketika mencari makan ,mengatur ketika bermain-main dan macam-macam lagi kehebatnnya. Kini Raja Beruk terpesuk ,tunduk dengan wajah murung. Tentu ada sesuau yang difikirkan…Apakah tempat baru ini tidak sesuai?Mustahil.Mereka baru sahaja berpindah ke tempat ini.

Dulu…memang ,di tempat lama dua tiga ekor kawan mereka telah dibaham harimau.Sebab itulah Raja Beruk memerintahkan mereka berpindah,dan dia sendiri yang memilih tempat ini. Tempat ini strategik. Buah-buahan banyak,musuh hampir tidak ada.Serba serbinya cukup dan memuaskan.Tapi kenapa Raja Beruk bermuram durja,berduka nestapa?
“Engkau semua tahu makan sahaja.Tak tahu fikir panjang.
Bagaimana nasib anak cucu generasi akan datang kau semua tak fikir.Hutan kita akan pupus,buah-buahan kita akan tandus.Generasi beruk akan hilang di dunia jika kita tidak cepat bertindak .Engkau fikir senang hari ini sahaja…esok?”
rungut Raja Beruk dalam hati.Mengeluh dia tentang anak buahnya yang lembab.Patut pun jadi beruk!Tetapi aku tidak.
Aku genius di tengah kedungguan generasiku. Akulah pemimpin. Pemimpin revolusi beruk jadi manusia.
“Memanda Menteri ,utuskan pengawal-pengawal pilihan menanti di perbatasan hutan.Tunggu kedatangan Kakap,Semik,Koring dan Sigah! Aku tahu dalangnya sahaja.
Jangan dipersoalkan bila,tunggu sampai tiba ,”perintah Raja Beruk tegas. Garang.
“Menjunjung perintah,tuanku!”kata Menteri Beruk.
Perintah dikeluarkan, meloncatlah satu platun pengawal beruk yang gagah perkasa.Menghayun badan, melayang-layang dari dahan ke dahan ada kelebihan…pergi menjunjung titah rajanya.Hati Raja Beruk lega,sebodoh-bodoh rakyatnya ada kelebihan juga.Bodoh memudahkan mereka patuh.Soal ini…rakyat beruk memang terpuji.
“Ada apa-apa lagi Tuanku?”Tanya menterinya.
“Buat masa seminggu sepanjang menunggu ketibaan utusan kita itu,batalkan semua pesta dan perayaan.Jangan ada rakyat yang bersuka-suka.Kita terancam tahu tak?Aku akan panggil satu perhimpunan raksasa bila sahaja utusan-utusan sampai.Ketika itu rakyat seluruhnya akan tahu apakah maksud hatiku yang sebenarnya.Jangan lupa simpan manuskrip itu baik-baik,”perintah Raja Beruk lagi.
“Ada apa-apa lagi Tuanku?”Tanya Menteri Beruk.
“Tak ada…boleh pergi!”tutup Raja Beruk.
Pasal bodek,Menteri Beruk cukup bijak.Ada-ada sahaja khidmatnya.Tapi malang,jauh di sudut hati Raja Beruk tetap tak menyenangi menterinya.Menteri yang yes man tak boleh diajak berevolusi.Orang revolusi mesti kreatif,berani,dan kritis untuk memberi pandangan-pandangan radikal. Kalau hanya tukang angguk-angguk kepala tak ke mana akhirnya.Tapi apa boleh buat…Menteri Beruk adalah orang terpandai di kalangan rakyatnya.The Best among the worst! kata orang putih.
* * * *
Seminggu berlalu seakan merangkak dan mengesut. Terasa penuh seksa bagai digigit sembilu. Raja Beruk kematian angin. Makan minum tak lalu.Bergayut tak senang.Permaisuri Beruk susah hati.Buah hatinya Raja Beruk asyik meradang.Manuskrip itulah yang diusung ke sana ke mari.Dalam badan sasanya terpendam rasa yang hebat dan dahsyat. Jiwa revolusi.Jiwa revolusi memang begitu.Membuak luapan semangat dan amukan rasa.Siang malamnya matanya asyik tertuju ke perbatasan hutan.Menunggu kalau-kalau utusan-utusannya sudah kembali.Rindunya mendalam,hasratnya membengkak bagai nanah terpendam.
Menteri Beruk datang menghadap sekali sekala.Setiap kali datang,pasti diperintahkan membaca.Manuskrip direnung,ditatap,macam azimat dan amanat.Dari ayat ke ayat.
Dibacanya berulang alik.Oh!Datukku Darwin amanatmu akan kusimpan baik-baik dan pasti akan kujelmakan…kita asalnya sama.Cuma nasibku saja yang tak berubah.Aku menjadi beruk,kau jadi manusia…walaupun menjadi rajanya,aku tetap beruk.
Rimba-raya itu tiba-tiba hingar-bingar.
Nyet…nyet…nyet…di sana
Nyet…nyet…nyet…di sini
Nyet di sana,nyet di sini.
“Tuanku,khabar gembira! khabar gembira!”teriak Menteri Beruk.
“Apa dia?utusanku telah kembali?meditasi sepinya terganggu.
“Ya, Tuanku.Mereka kembali!”cepat Menteri Beruk menjawab.
“Beri arahan,kumpulkan rakyat cepat.Bawa makanan dan panggil menghadap semua anak-isteri,suku–sakat,cucu cicit. Semua sekali.Kita adakan perhimpunan besar.Ada perkara penting yang mesti diketahui semua.”
Belum sempat Menteri Beruk berlalu dia menambah:
“Err..,er jangan lupa.Jamu Kakap, Semik ,Koring dan Sigah dengan hidangan istimewa.Mereka pahlawan Negara. Beri mereka tempat duduk di sebelahku. Mereka akan turut berucap di depan rakyat .”Raja Beruk gembira.Oh! Jalan-jalan ke arah revolusi menjadi manusia sudah hampir!sudah dekat! Yahoo…! Ada harapan aku jadi manusia. Hati Raja Beruk benar-benar gembira,menggeletek-geletek. Akulah Bapa Revolusi ~ Revolusi Beruk.
Semuanya sudah sedia.Telah mustaid segala kelengkapan.
Suasana sepi. Rakyat bergayut-gayut pun telah tiada. masing-masing duduk diam-diam. Mulut tidak mengunyah…tapi tangan tetap tergaru-garu di sini,di sana.Raja Beruk melihat rakyatnya dengan bangga.Berdisplin juga rakyatku.Ada harapan jadi manusia,detik hatinya dengan confident.
“Nyet! nyet! nyet! Hormat Raja Beruk!”seru Menteri Beruk.
“Nyet…nyet…nyet…kami hormat,”ikut rakyat Beruk beramai-ramai. Suara nyaring menjerit hormat memecah sunyi belantara. Raja Beruk terus kembang ,di lambung-lambung oleh kepujian. Dalam hati Raja Beruk timbul rasa terharu.
“Aku akan balas penghormatanmu,aku akan berbakti padamu.”
Begitulah azam hati Raja Beruk bertalu-talu atas kepatuhan tak berbelah bagi yang ditunjukkan oleh rakyatnya.
“Rakyat-rakyatku,dengar sini.Lihat di tanganku ini…”
Kata Raja Beruk memulakan titah sambil mengacung-acungkan manuskrip keramatnya dengan tangan yang berbulu lebat itu.
Rakyat terpinga-pinga.
“Pisang ke?”teka sesetengah rakyatnya.
“Buah kelubi masak,masam manis,”sangka sesetengah lagi. Ruang legar fikiran beruk-beruk itu cuma ingat makan. Makan,makan,makan. Mana mereka tahu di tangan raja adalah manuskrip keramat. Titik tolak revolusi yang dirancangkan oleh Raja mereka. Mata mereka terkebil-kebil dan ada yang menggaru kepala.Termangu-mangu dalam misteri.
“Bodoh!”sumpah Raja Beruk dalam hati.Kesal juga ia bila melihat rakyatnya termangu-mangu kebingungan.Tak apa.
Itu cabaran revolusi,bisik hatinya memujuk.
Raja Beruk meneruskan:
“…dalam surat ini menyebut kita boleh menjadi manusia.
Datuk kita dan datuk manusia sama-sama beruk .Kerana itu marilah kita berubah menjadi manusia.Ini perjuangan kita.
Manusia telah maju,mereka hidup dengan serba mewah dan masyarakat mereka lebih tersusun daripada masyarakat kita.
Kita bergaduh,mereka bertamadun.Kita sempit dengan berbagai-bagai musuh…harimau,ular dan macam-macam lagi.
Tapi hidup mereka damai,bersatu dan tidak diancam musuh.Aku telah utus empat utusan ini untuk melihat hidup manusia dari dekat,”katanya sambil berpaling kepada Sigah,Kakap,Semik dan err…
Raja Beruk berpaling ke kiri ke kanan.
“Mana Koring?”tanyanya pada Menteri Beruk.
“Dia masih belum balik,”jawab Menteri Beruk dengan muka suspen.Takut kena marah.
“Tak apa…cukup dengan utusan yang ada.”
Menteri Beruk lega.
“Empat,err tiga…utusan ini akan menceritakan kepada kita tentang kehidupan manusia.Mereka telah aku utuskan ke seluruh pelusuk penempatan manusia.Di Barat Semik,Utara,Sigah,Kakap Selatan dan Koring Timur.
Semuanya telah pulang dengan maklumat berharga …kecuali Koring.Tak apalah lambat laun dia akan kembali juga.”
“Dengan maklumat mereka…”terhenti Raja Beruk mengambil nafas.Tangan berbulunya, tanpa disedari menggaru kepalanya.Cepat-cepat dia sedar.Ah! sekali-sekala terlajak perangai beruknya. Macam mana pun,dia tetap beruk.Mana nak elak?
“Dengan maklumat itu kita akan tahu dengan banyak tentang susunan hidup manusia.Kita akan tahu bagaimana mereka bekerja,berkahwin,berhibur,bermain,belajar dan segala-galanya.Dari sini kita akan belajar mencontohi mereka.Kita akan belajar jadi manusia…kita akan keluar dari hutan ini.
Pasti kita akan diterima.Manuskrip yang ada pada tangan aku ini,ditulis oleh mereka.Oleh Darwin.Ertinya Darwin mengakui kita saudaranya.Aku percaya pengikutnya ramai.Tentu mereka boleh membantu kita…mereka telah mengiktiraf kita sebagai warga manusia.Kita dan mereka seketurunan.Takkanlah mereka benci pada saudara mereka…”sambung titah Raja Beruk dengan penuh harapan.
Rakyatnya terangguk-angguk,sambil menggaru-garu.
Seperempat masuk,tiga perempat keluar …banyak yang tak faham dari yang faham.Tetapi demi raja,demi Bapa Revolusi,mereka terus terangguk-angguk.
Raja Beruk puas hati .Hatinya berbunga harapan; kembang- kuncup oleh mimpi indahnya.
“Sekarang marilah sama-sama kita dengar dari utusan-utusan kita yang gagah perkasa,” kata Raja Beruk.
Semik muncul ke hadapan.Dia akan memulakan laporan.Ingatannya kembali kepada masyarakat manusia yang dilihatnya di Barat. Hatinya kecut, takut-takut laporannya tidak menyenangkan hati rajanya.Tapi dia ingat hanya apa yang dilihatnya.Beruk mana pandai kelentong!
“Tuanku dan kawan-kawan sekalian.Hidup manusia Barat tidak indah…lebih kurang kita juga,”tiba-tiba tercetus dari mulut Semik.
“Apa?”sergah Raja Beruk.
“Err…er benar tuanku.Saya lihat ramai orang-orang mudanya tunggag-langgang.Hidup lintang-pukang.
Mereka suntik badan mereka dengan sesuatu yang pelik.Bila kena benda itu, mereka jadi tak tentu arah.Bukan satu atau dua orang tetapi ribuan malah jutaan tuanku…Oh dahsyat…dahsyat…tuanku.
Satu lagi,jangan sangka mereka tak gaduh.Mereka bergaduh malah gaduh mereka lebih dahsyat. Kita takat kokak-kokak gigi sahaja.Tapi gaduh mereka secara besar-besaran.Ada pakai senjata yang keluarkan api. Kilang-kilang keluarkan benda berapi itu banyak didirikan. Sekali letup,ribuan orang mati.Eh! ngeri tuanku.Dan lagi…”
“Cukup!”Potong Raja Beruk.Mukanya merah padam.
“Cuba Kakap pula yang beri laporan!”perintah Raja Beruk. Bengang betul dia.
“Tuanku,orang-orang tempat saya perhatikan tak pakai baju lagi.Saya lihat manusia dah dedah,buka semua yang mereka tutup dulu.Di pantai-pantai tempat manusia berambut perang dan ada yang bertelanjang…malu saya tengok.Kita bangsa beruk memang biasa macam itu, lagipun badan macam tu,ganjil nampaknya tuanku.Pada siang dan malam ,saya lihat pakaian orang perempuan terkoyak-koyak.Entah kenapa?lebih dahsyat tuanku,mereka dah macam kita.Bini dia bertukar-tukar, berganti-ganti…Entahlah,saya lihat lebih kurang adat istiadat kita juga.Yang lebih dahsyat ada lelaki kahwin sesama lelaki,perempuan sama perempuan.Eiii…jijik tuanku,”kata Kakap berani.Ia memang celupar.Padan dengan namanya.
Muka Raja Beruk merah padam.Macam mendung hampir nak hujan.Geram ada,kecewa ada.Kini harapannya hanya pada Sigah.Sigah yang di utuskan dari Utara.
“Sigah,silakan…”perintah Raja Beruk,cuba-cuba berlagak tenang.Tapi separuh semangat revolusinya telah lebur.
“Tuanku,apa yang saya lihat lebih dahsyat.Berjuta-juta manusia manusia mati kebuluran.Tapi dalam masa yang sama ramai juga yang mati kekenyangan.Bila bantuan makanan tiba orang bukan menyambut dan membahagikannya,tapi mereka terus bertembak-tembak.Ribuan orang mati,tuanku…lebih ramai dan berganda –ganda banyaknya daripada kawan-kawan kita yang dibaham harimau dan dibelit ular.Bila ada sedikit makanan yang sampai,mereka berebut-rebut,macam kita berebut pisang,tapi lebih teruk lagi.Politik mereka kacau.Ada sahaja yang ingin merampas kuasa.Rakyat tertindas,orang miskin jadi jenayah,si kaya pemeras,yang berkuasa zalim…kalaulah tuanku menjadi raja mereka,tentu tuanku pening kepala.Kami walaupun bodoh,patuh. Manusia meskipun pandai banyak karenahnya. Tuanku ,jika kita jadi manusia…belum tentu tuanku jadi rajanya.Silap haribulan, tuanku digulingkan,”kata Sigah terus terang.
Kecut perut Raja Beruk mendengarnya.Bab guling-mengguling ini yang tak berapa sedap.Dia cuba tenang walaupun jiwa revolusinya sudah kempis.Tipis macam kulit bawang.
Sigah meneruskan,”…. Dan saya rasa belum tentu kita rakyat beruk akan diterima oleh masyarakat manusia. Sedangkan manusia telah bermusuh dan bunuh-membunuh sesama manusia apalagi kalau dengan kita…beruk yang nak jadi manusia? kita akan dianggap manuia kelas dua tuanku!”kata Sigah yang memang radikal sedikit. Memang Raja Beruk kurang senang dengan Sigah yang out-spoken itu. Tapi biarlah sekali sekala dia meluahkan isi hatinya. Lagipun apa yang nak dihalang,dia memang benar. Dia yang melihat, aku cuma mendengar.Raja Beruk masih rasional. Padanya mata lebih dipercayai daripada telinga.
Akhirnya,perlahan-lahan Raja Beruk tunduk. Air matanya berlinang. Lengan berbulu panjangnya longlai.Harapan untuk generasinya musnah.Manuskrip keramatnya basah oleh air mata yang menitis dari anak matanya yang redup sayup.Direnungnya satu persatu muka rakyat di hadapannya.
Muka-muka bodoh itu ditenungnya satu persatu.Penuh kasih sayang. Generasi beruk akan terus terancam. Hutan akan dipugar oleh kerakusan manusia. Pohon-pohon akan di tebang penuh nafsu,gelanggang anak cucu beruk akan pupus…ke mana anak-anak cucuku akan menumpang hidup?
Dengan berat, akhirnya Raja Beruk berkata, amanatnya yang paling terakhir.
“Rakyatku…telah kita dengar berita sebenar-benarnya. Rupa-rupanya hidup manusia hanya indah khabar dari rupa. Darwin pembohong. Dia dusta!”katanya marah.Di genggamnya manuskrip keramat yang sudah kusam oleh air matanya.
“Krak…res…res…”
Manuskrip itu dikoyak-koyaknya. Disayat-sayat dengan geram.Persis  beruk diberi bunga.
“Aku akan memberi satu amanat.Ini lebih penting dari kata-kata palsu Darwin.Inilah perutusanku,titahku yang muktamad dan tidak akan berubah-ubah lagi…Jika manusia terus berkelakuan seperti yang digambarkan oleh utusan-utusan kita,tak payah kita melatih-latih diri menjadi manusia…Tunggu sahaja mereka menjadi kita!Tunggu sahaja manusia menjadi beruk!Manusia akan mengikut jejak langkah kita,bukan kita mengikut jejak langkah mereka,”kata raja Beruk bersemangat.Angin revolusinya berputar 360 darjah.
“Kita lebih mulia dari mereka.Kerana merekalah yang mahu hidup cara hidup kita.
“Nyet!Nyet!Nyet!Nyet”sahut rakyat bergembira.
Melompat dan menggaru-garu. Tanpa segan silu lagi kini…
Raja Beruk turut melompat-lompat sama.Kini terasa betapa bangga dan bertuahnya dia menjadi beruk. Dia bangga menggaru. Bergayut. Menjerit .Melompat dari pokok ke pokok.
Rimba-raya bertukar menjadi pesta.Pesta Beruk-beruk!
Mereka lupa pada si Koring…Ya Koring masih di Timur.Apa terjadi kepada Koring?Apa terjadi kepada manusia di Timur?


KREDIT2GENTARASA

Saturday, May 4, 2013

BIARKAN SILUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!


Kadangkala mendidik secara perlambangan, lebih mengesankan. Menegur secara metafora, kurang menyakitkan. Memperingat secara analogi, lebih melunakkan hati. Begitulah yang saya yakin dalam usaha kita menyedarkan diri sendiri dan orang lain.

Mesej yang baik, perlu disampaikan dengan cara yang baik dan pada ketika yang baik… Namun jika dimarah juga, kita berserah kepada Allah. Kita manusia yang lemah, Allah jua yang memberi hidayah.

Banyak yang berlaku minggu-minggu kebelakangan ini. Banyak persoalan menerjah ruang ingatan. Saya berdoa agar apa yang pernah saya tuliskan dalam buku-buku atau blog kembali ditelaah dan diperhatikan. Di sana mungkin terselit jawapan, samada secara langsung ataupun tidak. Kali ini saya paparkan semula satu tajuk dalam buku “NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR”… jadi pohon kembali difikir-fikirkan. Semoga ada zikir (ingat) sejurus selepas itu…

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.
Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu. Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.
Namun Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik. Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu.
Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman. Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluk labu ini?”
Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”

Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?”
Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”
Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.”
“Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.
“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .”
“Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.
Mereka pun sama-sama menyanyi.
Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Biarkan, biarkan … .
Senikata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”
Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.
Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.
Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.”
“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda tuanku.”
“Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”
“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai.
“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”
Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.
“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.
Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati. Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.
Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri. Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.
Ironisnya, kisah Si Luncai ini relevan sehingga sekarang. Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.
Mungkin falsafah daripada cerita Si Luncai ini boleh diperluaskan dalam konteks negara-negara membangun dalam menghadapi perancangan kotor negara-negara maju. Walaupun kuasa besar itu kuat di sudut ketenteraan, dengan kebijaksanaan kita mampu pula menghadapi perancangan jahat mereka.
Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Dunia Islam pada dasarnya, belum bersedia untuk berdepan secara terbuka dengan Barat. Iraq, Taliban dan Libya pernah mencuba, tetapi akhirnya kecundang. Apa yang kita pelajari di sini adalah: Jika lemah senjata dan harta, gunakan kekuatan minda dan jiwa!
Namun ada sisi ‘gelap’ dalam cerita Si Luncai ini. Nampaknya agama telah dieksploitasi untuk memperjuangkan kepentingan peribadi atau kelompok. Si Luncai telah menggunakan taktik ini dan angkara ini terus berkesinambungan hingga kini. Agama terus diperalatkan justeru sifatnya yang lebih maknawi dan subjektif serta sukar ‘diukur’. Keislaman selalunya dilihat pada ritual dan kulit, bukan pada ‘substance’ atau isi. Ini dipergunakan oleh Si Luncai untuk menipu raja.
Ya, bagi mereka yang hanya punya keinginan dan semangat (tetapi kurang ilmu asas dan rujukan yang tepat), maka mudahlah ditipu oleh ‘Si Luncai’ moden yang kaya dengan pura-pura. Ramai manusia moden hari ini seolah-olah menjadi ‘raja’ dalam cerita Si Luncai apabila berdepan dengan soal kerohanian.
Malah profesor, doktor, ahli perniagaan serta ahli sains dan ekonomi pun turut terperangkap dengan ‘gula-gula’ kerohanian. Akibat miskin ilmu wahyu dan rujukan yang autentik, akal cuba dipisahkan dengan hati. Kononnya hati sahaja yang mampu menjangkau soal rohani yang berbelit-belit. Dimomokkan seolah-olah akal dan hati saling bermusuhan dan kerohanian adalah subjek yang mesti dituruti dan dipatuhi dengan ‘kosong’ kepala.
Mereka lupa, roh ilmu daripada kalimah awalan Quran – Iqra’ – dan betapa persoalan iman diterangkan oleh Allah sendiri dengan dalil maqru’ah (naqli) dan manzurah (aqli). Justeru pada hakikatnya, akal dan hati adalah gandingan serasi untuk mendapat kebenaran. Tidak ada agama bagi yang tidak berakal!
Kini muncullah ‘Si Luncai’ moden dengan citra alim dan warak, berbaju agama tetapi berhati serigala. Boleh jadi dia muncul dalam gelanggang ekonomi, politik atau sosial. Ceritanya tetap sama … mimpi alam rohani dengan janji-janji murni yang diadun antara realiti dan fantasi. Ada kebenarannya, tetapi melaut kepalsuannya. Dan mereka hakikatnya adalah taukeh ‘skim cepat kaya’ yang menabur saham-saham pengampunan dosa dan jalan pintas ke syurga. Lahiriah indah dan tampak gagah, tetapi isinya adalah strategi biasa ahli siasah (politik) atau tijarah (ekonomi).
Malangnya, kerana abad ke-21 adalah abad ‘lapar rohani’ maka ‘mi segera’ jenama agama ini mudah mendapat pasaran. Sekali lagi strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan … kali ini dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Ya, jika manusia zaman moden ini mempunyai ilmu asas yang kuat, tidak dibayangi oleh dosa-dosa lampau yang melampau, maka ajakan ‘Si Luncai’ jenama agama tidak akan mendapat sambutan.
Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya. Dan kita mesti membuktikan bahawa kita lebih cerdik dan lebih baik dengan memantapkan ilmu, amal dan bertaubat. Tidak ada jalan pintas ke syurga. Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Friday, May 3, 2013

AKU TIDAK MAHU..KO MAHU??


Wednesday, May 1, 2013

PRAY HARD, WORK SMART


“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan.
Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”
Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.

“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.

“Jadi apa masalahnya?’

“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”

“Yang solatolic bagaimana?”

“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.

“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”

“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”

“Maksud awak?”

“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”
“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.

Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.

“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”

“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara.”

“Baginda seorang yang workaholic?”
“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… yang Rasulullah saw memang begitulah.”

“Jadi seorang itu boleh jadi solatolic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”

“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”
“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusan ku dengan Allah tidak selesai.”

Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.

“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatolic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia solatolic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”

“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “

“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.

Saya diam. Berfikir sejenak.

“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja.”
“Bagaimana?”

Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.

“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”
“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”

“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’

“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu anggapan mereka.”

“Jadi bagaimana mengatasinya?”

“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”
“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir Allah yang Maha Besar.”

Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan, “ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima Allah.”
“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?”

Saya mengangguk.
“Workaholic untuk manusia, solatolic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”

“Orang yang solatolic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”

“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatolic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.


Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!


KREDIT2GENTARASA