Sudah menjadi kebiasaan,
disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia , lelaki yang bekerjaya
terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari
dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak
sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.
Sebelum
ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9'
dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan
kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan
ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.
Persoalan
jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas
azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih
kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar
masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan
solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.
PENGHARAMAN
JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat
Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru
setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua
dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak
termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia
adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam
Fiqh Islam.
Demikian
juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti
sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan
hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli
lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum
adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya
:Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada
hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah
jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
AZAN
PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun
telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli
berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman
itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.
Perlu
difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan
Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas
mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a,
bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya
ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Namun,
hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama
sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada
lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa
pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas
mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran,
para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]
Imam At-Tohawi Al-Hanafi
menegaskan :-
المعتبر
الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول
الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai
(dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang
asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm
24)
Namun demikian, ulama mazhab
Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka
berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar
mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan
masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih
tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli
selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie
menyebut :
اتفق
العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya :
Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua (
Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
BERDOSA
SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?
Walaupun
berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan
pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?
Jika
kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala
sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak
sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan
demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku,
beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan
keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan
bermasalah.
Dalam hal
ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad.
Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung
oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan
sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat
mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun,
berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah
rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu
jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa
pembatalan aqad.
Apapun,
amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati
dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para
peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk
menghindari kesalahan ini. Kita bimbang, akibat kejahilan, ramai yang
melanggarnya secara berulang kali.
KESIMPULAN
Kesimpulan,
jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a)
Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b)
Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat
Jumaat.
c)
Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf
untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Saya amat
berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka
berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka
melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan
tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.
Sekian,
[1] Ijma ini dicatatkan oleh Ibn
Rusyd al-Hafid dan juga Ibn Kathir (Bidayatul Mujtahid, 4/169 ; Tafsir Ibn
Kathir, 4/368)
[2] Al-Iqna', Al-Khatib,
1/151 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/39
[3] Syarh Fath Al-Qadir, 2/69 ;
No comments:
Post a Comment