Wednesday, April 17, 2013

BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!



Kata-kata terakhir saya dalam segmen Mukmin Profesional di radio IKIM baru-baru ini ialah seruan untuk umat ini ‘memanfaatkan persamaan dan matang dalam menguruskan perbezaan.’
Saya kira inilah cabaran untuk umat Islam Melayu di Malaysia, di samping cabaran-cabaran lain, yang semuanya harus dihadapi dengan kebijaksanaan akal dan ketulusan hati.
Menerusi pengalaman dalam pergaulan dengan pelbagai manusia dari pelbagai aliran fikiran dan ‘School of Thought’ saya dapati tahap pergeseran umat ini sudah semakin serius. Usahkan di bidang siasah yang sejak dulu bukan semakin reda tetapi semakin menyala-nyala, malah di bidang yang lain pun perbezaan ini semakin sukar didamaikan.
Agenda dakwah dan tarbiah umat ini turut terjejas apabila ilmuan agama, para dai’e juga terpalit dalam pergeseran yang semakin hebat ini. Jika ‘kepala’ sudah berlaga, apalagi ‘ekor’… lebih ligat dan kuat melibas. Akibatnya, para daie mendapat label masing-masing… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan pula ‘salafi tegar’.
Pergeseran ini mengelirukan, merugikan… Bayangkan seorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah dengan “zikir semacam itu bid’ah”. Renungkan pula… bagaimana pula seorang yang selama ini belajar Tauhid di sekolahnya secara pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap terkeluar daripada ajaran Islam? Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah dari solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan berwasilahkan wali dan ulama.
Namun jika diteliti semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah yang sama. Mereka yang berbeza ini juga adakalanya duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja sepejabat atau boleh jadi satu keluarga juga.Kenduri-kendara masih saling berkaitan. Sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan.
Saya yang sedikit ilmu dan kerdil peribadi ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan petunjuk untuk kita agar sama-sama ikhlas dan bijak menghadapi perbezaan. Apakah kita akan terus menghadapi krisis saling sesat menyesatkan, atau saling kafir mengkafirkan ini? Ya Allah, berilah kami petunjukMU. Respons saya pada persoalan ini hanyalah secebis tulisan yang sangat sederhana:
BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!    

Imam Shafie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.
Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Lihat betapa tingginya keperibadian Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.”
Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, “wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.
Sekarang, lihat pula bagaimana hormat guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal.”
Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru (bermusuhan). Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap bersatu.
Berbeza benar keadaannya dengan masa kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.
Umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke hati umat.
Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.
Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?

No comments:

Post a Comment